Perutusan


 

PERUTUSAN 

SAHIBUS SAMAHAH MUFTI SARAWAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin segala puji bagi Allah Subhanahu wataala. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wataala kerana dengan izin-Nya tahun ini Jabatan Mufti Sarawak (JMS) menyambut Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya.

Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) sebagai pusat rujukan utama dalam hal ehwal kefatwaan dan ilmu falak memainkan peranan yang besar dalam menyediakan sumber rujukan berautoriti kepada masyarakat. Oleh itu JMS komited untuk mencipta kegemilangan dalam mencapai kesejahteraan ummah. Ketelitian dan kebijaksanaan dalam mengeluarkan fatwa yang berwibawa melalui kajian terperinci dan memahami waqie (realiti) secara holistik membolehkan masyarakat Islam khususnya di Sarawak mempunyai panduan hukum yang tepat dan sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.

Firman Allah Subhanahu wataala yang bermaksud:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan Allah kepada kamu...” (Surah al-Maidah 5: 49)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa sesuatu hukum itu perlulah dibuat berlandaskan sumber-sumber hukum yang benar dan bukanlah dibuat mengikut kepentingan individu ataupun hawa nafsu. Melalui fatwa yang berhikmah kita dapat memenuhi maqasid syariah seterusnya hidup dalam keharmonian dan kesejahteraan berlandaskan ajaran Islam yang syumul. Semoga usaha ini mendapat rahmat dan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wataala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Selamat melayari portal rasmi kami. Mudah-mudahan bermanfaat hendaknya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin





















 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَوَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

 وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

 

اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ

Useful Links