![]() |
UCAPAN SAHIBUL FADHILAH PENGARAH JABATAN MUFTI SARAWAK Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Pertama dan selamanya, puji syukur hanya kepada Allah Subhanahu wataala, yang mentadbir sekalian alam dan yang menguasai hari pembalasan. Selawat dan salam buat Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, nabi dan rasul junjungan, seluruh ahli keluarga, para sahabat, dan pengikut baginda yang setia serta para pejuang Islam yang setia menyimbah cahaya Islam di muka bumi ini hingga akhir zaman. Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu wataala Jabatan Mufti Sarawak (JMS) pada tahun 2022 mengadakan Sambutan Jubli Perak penubuhannya dengan tema “Mensyukuri Pencapaian Mencipta Kegemilangan”. JMS bertekad agar umat Islam di negeri Sarawak khususnya dapat menjalani kehidupan yang berteraskan kepada hukum dan fatwa yang tepat dan berautoriti bagi mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang berorentasikan kepada sistem penyampaian perkhidmatan, JMS dari semasa ke semasa melaksanakan penambahbaikan perkhidmatannya dan bersungguh-sungguh untuk memberi kefahaman dan menyebarluaskan maklumat ilmiah dan panduan beribadat. InsyaAllah, JMS tetap relevan dalam menentukan peranannya yang terus berwibawa serta lebih berkesan dalam memartabatkan syariat Islam. Ini selaras dengan misinya “Memperkasakan Kecemerlangan Kefatwaan Bagi Membimbing Masyarakat Islam Dengan Rujukan Hukum Yang Berwibawa Dan Unggul Untuk kesejahteraan Ummah” Kita berharap umat Islam Sarawak khasnya dan ummah pada amnya dapat mengambil manfaat dari penerbitan dan maklumat yang dimuatnaik di portal rasmi ini. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Haji Mual bin Haji Suaud |