Berita

IBRAH INTEGRITI DARI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
Tarikh : 26 Mar 2021
 

 

Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak (Kiri)

 

Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) bekerjasama dengan jayanya dalam menjayakan Ceramah Integriti : Ibrah Integriti Dari Peristiwa Israk dan Mikraj pada 28 Rejab 1442 bersamaan 12 Mac 2021. Program ini diadakan secara hybrid dengan kehadiran sebahagian penonton di dewan dengan mematuhi SOP dan siaran langsung di FB Page dan Youtube Channel Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia Sarawak.

Program dimulakan dengan Amanat Integriti yang disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Talib Bin Zulpilip, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti Dan Ombudsman) yang seterusnya merasmikan majlis ini. Beliau menyeru agar semua berusaha untuk menghayati nilai-nilai integriti agar terhindar daripada rasuah dan salah laku. Beliau juga menyatakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak negeri maju dan berintegriti tinggi pada tahun 2030. Beliau juga mengatakan, jika tinggi rasuah kurang integriti, tinggi integriti turun rasuah. Oleh itu integriti perlu dimulakan dalam diri sendiri dan seterusnya akan menapak kukuh dalam sesebuah organisasi dan kerajaan.

Ceramah yang disampaikan sendiri oleh Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak ini mengupas hubung kait peristiwa Israk dan Mikraj dengan integriti. Personaliti agung Rasulullah SAW sudah cukup besar menjadi ibrah integriti di mana akhlak mulia baginda SAW dalam seluruh aspek kehidupan adalah berlandaskan integriti syariat Allah SWT. Sejak awal kehidupan Rasulullah SAW sudah masyhur digelar al-Amin yang menggambarkan baginda sebagai ikon integriti ulung yang sangat amanah dan jujur. Melalui peristiwa Israk dan Mikraj ini beberapa Ibrah telah dikongsikan oleh penceramah iaitu:


1. Peristiwa Rasulullah SAW dibelah dada yang merupakan simbolik kekuatan hati Rasulullah SAW kerana perjalanan qudus menemui Allah memerlukan jiwa yang kental dan ibrahnya adalah untuk menjadi seorang yang berintegriti memerlukan kekuatan jiwa dan jati diri.


2. Integriti dalam diri memerlukan hati yang faham, dekat dengan Allah melalui konsep keimanan terhadap malaikat bahawa adanya malaikat yang ditugaskan mencatat amalan nescaya kita tidak akan mengambil rasuah dan melakukan kejahatan.


3. Peristiwa Rasulullah memilih susu berbanding arak memberi isyarat bahawa syariat Allah SWT adalah bertepatan dan sesuai dengan fitrah manusia.


4. Peristiwa gambaran tentang balasan amalan baik dan buruk, syurga dan neraka membawa ibrah agar kita sentiasa berfikir dahulu (think first) sebelum melakukan sesuatu kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat.


5. Perkara utama dalam perjalan suci ini adalah pensyariatan ibadah solat. Ia merupakan tonggak utama dalam membentuk jati diri agar terhindar dari melakukan kejahatan dan kemungkaran serta mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.


Sesungguhnya integriti perlu dibuktikan dengan tindakan dan penghayatan, maka contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW. Justeru itu, marilah bersama-sama kita menghayati ibrah Rasulullah SAW melalui perjalanan agung ini agar kita menjadi insan yang sedar akan kedudukan kita sebagai hamba di sisi-Nya.


Tekan link di bawah untuk menonton:

CERAMAH "IBRAH INTEGRITI" DARI SAHIBUS SAMAHAH DATU HAJI KIPLI BIN HAJI YASSIN

 

Useful Links