Berita

 

Kekal Berhubung Walau Di Mana Berada

Disiarkan pada 28 Jun 2021

 

Mesyuarat atau perbincangan secara dalam talian sudah menjadi satu keperluan yang penting dalam kehidupan norma baharu akibat pandemik COVID-19. Penggunaan aplikasi-aplikasi seperti ZOOM, Webex dan Google Meet membolehkan manusia kekal berhubung walaupun di mana berada. 

Selaras dengan SOP semasa iaitu dasar bekerja dari rumah (BDR), mesyuarat dalam talian atau sidang video (video conference) ini sangat diperlukan oleh warga kerja Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS). Oleh itu, Bahagian Pusat Sumber JMNS melalui Bengkel Celik IT pada kali ini mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan tentang penggunaan salah satu aplikasi sidang video iaitu aplikasi ZOOM. 

Bengkel Celik IT: Zoom Sharing yang dijalankan pada 17 Zulkaedah 1442 bersamaan 28 Jun 2021 telah dibimbing oleh Ketua Unit Teknologi Maklumat Bahagian Pusat Sumber JMNS, Ustaz Abdul Karim bin Drahman dan beliau telah berkongsi cara menggunakan butang dan ikon dalam aplikasi tersebut. 

Ustaz Abdul Karim bin Drahman berkongsi ilmu tentang ikon-ikon yang terdapat di dalam aplikasi Zoom ini. 

Menurut beliau, antara ikon yang penting ialah mute/ unmute, start video/ stop video, share screen, dan banyak lagi. Menariknya bengkel ini, warga kerja juga diberi peluang untuk cuba mempraktikkan apa yang telah dipelajari dan berkongsi masalah yang dihadapi dalam menggunakan aplikasi ini. 

Bengkel juga mendapat sokongan daripada Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin dan Pengarah JMNS, Tuan Haji Mual bin Haji Suaud yang telah turut serta sepanjang bengkel tersebut dan mereka sangat berpuas hati dengan pengendalian bengkel ini dan berharap agar warga kerja JMNS sentiasa bersedia menerima perubahan dan sentiasa bersedia meneroka apa sahaja bidang yang diperlukan dalam meningkatkan prestasi kerja terutama dalam bidang teknologi maklumat. 

Perkongsian ini membolehkan warga kerja melaksanakan tugas dengan lebih mudah dan berkesan apabila perlu menghadiri mesyuarat, bengkel, perbincangan, dan sebagainya secara dalam talian. 

 

 

Peserta-peserta yang terlibat dalam bengkel ini. 

 



© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Kemas Kini Terakhir Pada 16 May 2024

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup