Berita

 

Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Ke-2 Sarawak 1444H/2022M

Disiarkan pada 16 Aug 2022

Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia merupakan kejohanan sukan dwitahunan antara Jabatan Mufti seluruh Malaysia. Kejohanan sukan ini adalah wadah jalinan ukhuwah dan kerjasama erat dalam kalangan warga Jabatan Mufti Se-Malaysia disamping membudayakan gaya hidup sihat melalui sukan. Ia juga merupakan medan perkongsian maklumat dan bertukar pandangan dalam pembangunan dan kemajuan Jabatan Mufti Se-Malaysia.

Pada 15 hingga 17 Safar 1444 bersamaan 13 hingga 15 Ogos 2022 telah diadakan Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Ke-2 Sarawak 1444H/2022M. Liqa’ kali ini menyaksikan kesemua 14 kontinjen menyertai kejohanan dan berentap dalam 11 acara yang dipertandingkan iaitu boling, futsal, bola jaring, tarik tali, ping pong, acara balapan 4x100 meter, rentas desa, congkak, dart, karom, dan badminton. Istimewanya Liqa’ Mahabbah ini turut menyaksikan Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia sendiri menyertai acara sukan yang dipertandingkan.

Antara Ashabus Samahah yang menyertai acara boling.  

Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menjadi saksi terlakarnya sejarah bermulanya Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Ke-2 Sarawak 1444H/2022M pada 15 Safar 1444 bersamaan 13 Ogos 2022. Majlis perasmiannya telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan.

Majlis Perasmian Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Ke-2 Sarawak 1444H/2022M yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan.

Pada 18 Muharam 1444 bersamaan 16 Ogos 2022, Majlis Penangguhan Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Ke-2 ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.

Dalam amanatnya, beliau berharap Liqa’ Mahabbah ini dapat merapatkan hubungan antara semua warga Jabatan Mufti Se-Malaysia sekaligus dapat bekerjasama dalam menjalankan tugas memperluas ajaran Islam kepada masyarakat yang berbilang kaum dan agama dengan lebih berkesan. Beliau juga menyatakan rasa syukur atas kepercayaan masyarakat agama lain dengan kepimpinan Islam di Sarawak.

“Saya percaya bahawa dalam Islam memang digalakkan untuk kita bersukan dalam kerangka syariat dan ini sudah tentu akan memberikan kecergasan kepada kita.” Sambung beliau lagi dalam amanatnya.

Dalam majlis gilang gemilang itu kontinjen Jabatan Mufti Sarawak telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dengan mengumpul 95 mata, naib johan disandang oleh kontinjen Jabatan Mufti Selangor (77 mata) dan kontinjen Jabatan Mufti Negeri Sembilan di tempat ke-3 (71 mata).

Tahniah dan Syabas kepada semua. Semoga Liqa’ Mahabbah ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

 

BOLING:

 

FUTSAL:

 

BOLA JARING:

 

TARIK TALI:

 

PING PONG:

 

BALAPAN 4X100 METER:

 

RENTAS DESA:

 

CONGKAK:

 

DART: 

 

KAROM: 

 

BADMINTON: 



© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Kemas Kini Terakhir Pada 16 May 2024

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup