Kunjungan Hormat Fadhilah Asy-Syeikh Khalil Elyas Al-Iraqi Ke Jabatan Mufti Sarawak
Disiarkan pada 28 Sep 2026
Sumber Berita: Jabatan Mufti Sarawak
Kuching, 17 September 2026 - Jabatan Mufti Sarawak menerima kunjungan hormat Fadhilah asy-Syeikh Khalil Elyas al-Iraqi bersama delegasi yang diketuai oleh Fadhilatul Ustaz Mohd Shafiee. Kunjungan ini menjadi wadah mempererat silaturahim serta memperkukuh jaringan keilmuan antara ulama dan institusi agama.
Dalam pertemuan bersama Sahibus Samahah Datu Mufti Sarawak, Fadhilah asy-Syeikh memperkenalkan Pusat Pengajian Darul Hikmah yang diasaskan beliau di Kuala Nerang, Kedah, serta mengalu-alukan kunjungan Sahibus Samahah ke pusat pengajian tersebut pada masa yang bersesuaian.
Perbincangan turut menyentuh kepentingan penguasaan bahasa Arab dalam memahami karya-karya turath, di samping usaha memelihara khazanah keilmuan Islam dan memastikan kesinambungannya kepada generasi akan datang.
Fadhilah asy-Syeikh turut berkongsi mengenai rehlah ilmiah beliau di Sarawak yang meliputi Kuching, Bintulu dan Miri bagi menghadiri serta menyemarakkan beberapa majlis ilmu.
Pada akhir kunjungan, beliau turut menyampaikan beberapa buah kitab hasil karya beliau kepada Sahibus Samahah sebagai tanda penghargaan dan jalinan ukhuwwah keilmuan.
Jabatan Mufti Sarawak merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap agar jalinan silaturahim serta jaringan keilmuan ini terus berkembang demi memperkasa penyebaran ilmu, pemeliharaan khazanah turath dan dakwah Islam berteraskan manhaj keilmuan yang muktabar.


