Kunjungan Hormat Delegasi Sheikh Muhammad bin Umar Al-Khatib Ke Jabatan Mufti Sarawak

Posted on 15 Sep 2026
Source of News: Jabatan Mufti Sarawak
Kuching, 14 September 2026 - Jabatan Mufti Sarawak telah menerima kunjungan hormat Fadhilah asy-Syeikh Muhammad bin Umar al-Khatib bersama delegasi yang diketuai oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Syahdan. Rombongan telah mengadakan pertemuan bersama Sahibus Samahah Datu Haji Khalidi bin Haji Ibrahim, Mufti Sarawak.

Pertemuan ini menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim serta bertukar pandangan berkaitan pemeliharaan ilmu al-Quran dan al-Qiraat, khususnya kepentingan ketepatan bacaan, tajwid dan makhraj huruf dalam pelaksanaan ibadah solat.

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah pendekatan talaqqi dan mushafahah dalam pengajaran al-Quran bagi memastikan ketepatan bacaan melalui bimbingan secara langsung daripada guru yang berkemahiran. Sheikh Muhammad bin Umar al-Khatib turut menekankan kepentingan kaedah tadrib melalui latihan menulis ayat-ayat al-Quran secara berulang dan bimbingan yang berterusan. Menurut beliau, pembelajaran al-Quran tidak seharusnya hanya tertumpu kepada bacaan dan hafazan, bahkan latihan menulis juga merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk memperkukuhkan ingatan, meningkatkan ketelitian serta memantapkan penguasaan terhadap ayat-ayat al-Quran yang dipelajari.

Sheikh Muhammad bin Umar al-Khatib turut menzahirkan penghargaan terhadap budaya pembelajaran al-Quran di Malaysia, termasuk penganjuran kursus dan bengkel al-Quran serta sikap tawaduk para guru dan pemegang tauliah yang sentiasa berusaha memperbaiki dan menyemak bacaan bersama para pakar.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh pengukuhan kurikulum Bahasa Arab dengan elemen asas Pengajian Islam seperti Fiqh, Sirah dan Hadis bagi membantu pelajar menguasai bahasa serta istilah ilmiah dalam disiplin pengajian Islam secara lebih bersepadu.

Semoga kunjungan ini terus memperkukuh hubungan keilmuan dan mahabbah antara para ulama serta menyumbang kepada usaha memartabatkan al-Quran, al-Qiraat dan ilmu-ilmu Islam.

Jabatan Mufti Sarawak Memartabatkan Ilmu, Memelihara Ummah.















 


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 15 Sep 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup