Program Mufti Berambeh Di Gedong Merapatkan Ukhuwah Bersama Masyarakat
Disiarkan pada 06 Jul 2026
Sumber Berita: Jabatan Mufti Sarawak
Gedong, 5 Julai 2026 – Jabatan Mufti Sarawak telah berjaya menganjurkan Program Mufti Berambeh di Gedong pada 4 hingga 5 Julai 2026 yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datu Haji Khalidi bin Ibrahim, Mufti Sarawak.
Program dimulakan dengan Kuliah Maghrib pada Sabtu, 4 Julai 2026 di Surau Assyakirin, Kampung Kanchong Baru, diikuti Kuliah Subuh pada Ahad, 5 Julai 2026 di Masjid Al-Khawthar, Kampung Gedong.
Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara Jabatan Mufti Sarawak dengan masyarakat setempat, di samping menyampaikan pengisian ilmu agama, memberi pencerahan mengenai isu-isu semasa serta menggalakkan penghayatan Islam yang berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan panduan fatwa di Sarawak.
Kehadiran penduduk setempat yang mengimarahkan kedua-dua sesi kuliah mencerminkan komitmen masyarakat dalam menimba ilmu dan memperkukuhkan ukhuwah. Jabatan Mufti Sarawak berharap program seumpama ini akan terus menjadi wadah mendekatkan institusi kefatwaan dengan masyarakat serta menyemai kefahaman Islam yang sahih dan sejahtera.





