Tanggal 1 Ramadan 1446 bersamaan 11 Mac 2025, bumi Sarawak menjadi saksi kepada perhimpunan agung para pemegang amanah ilmu dan syarak dalam Mesyuarat Lembaga Fatwa Sarawak Kali Ke-44. Mesyuarat ini bukan sekadar medan perbincangan ilmiah, tetapi merupakan gelanggang tanggungjawab dan wadah keinsafan, tempat lahirnya panduan syariat yang akan memandu kehidupan umat Islam dengan cahaya kebenaran.
Dimulai dengan ucapan penuh hikmah oleh Sahibus Samahah Mufti Sarawak, Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, semua ahli diingatkan tentang besarnya amanah dalam memutuskan hukum. Ia bukan sekadar menjawab persoalan, tetapi membimbing jiwa umat agar terus berada di landasan yang diredhai Ilahi.
Pembentangan tujuh kertas kerja yang menyentuh isu-isu fiqh kontemporari menjadi nadi utama mesyuarat ini. setiap helaian bukan hanya membicarakan hukum secara literal, tetapi membongkar denyut kehidupan masyarakat yang dahagakan panduan yang adil, berimbang dan penuh rahmah. Dari persoalan zakat KWSP, rawatan moden, saf solat, larangan berniaga di masjid, hinggalah kepada hukum penggunaan nebulizer ketika berpuasa semuanya dirungkai dengan penuh cermat, berteraskan maqasid syariah dan realiti semasa.
Cadangan penambahbaikan termasuk penubuhan Jawatankuasa Teknikal Fatwa dan pembaharuan dalam sistem penyampaian fatwa, memperlihatkan kesungguhan yang mendalam untuk memastikan ilmu dan hukum tidak terkurung dalam wacana tertutup, tetapi sampai kepada hati nurani masyarakat.



