picture

News

 

Perkembangan Ilmu Falak

Posted on 12 Nov 2010

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Setiap kejadian yang berlaku di alam ini sama ada hujan, ribut, petir, gerhana dan sebagainya perlu dikaji dan direnung secara empirik untuk mendapat formula kejadiannya serta bagaimana ia berlaku.

     Ini termasuk menghasilkan output dalam bentuk produk yang dapat membantu meningkatkan keimanan dan kualiti hidup.

     Dalam kehidupan masa kini, teknologi angkasa lepas yang paling ketara adalah teknologi satelit yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca, komunikasi, penyelidikan alam sekitar dan atmosfera serta bagi tujuan ketenteraan.

     Semua ini menunjukkan potensi dan manfaat hasil kajian manusia tentang ilmu falak.

     Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesara-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)

     Ternyata, manfaat yang selama ini kita nikmati tanpa disedari daripada perkembangan ilmu falak adalah penentuan tarikh. Ini menjadi lebih penting terutama dalam merancang bilakah mulanya puasa Ramadhan. Seterusnya menentukan cuti bagi membolehkan kita merancang perjalanan pulang berhari raya ke kampung.

Sumbangan ahli falak Yunani

     Ahli astronomi purba telah memulakan beberapa teori dan siri pencerapan yang berguna untuk kajian falak seterusnya.

     Antaranya, Aristarchus (310 SM - 230 SM) yang membuat pengukuran saiz serta jarak bulan dan matahari.

     Erathosthenes (240 SM) mula membuat pengukuran diameter bumi manakala Hipparchus (150 SM) menggunakan kaedah matematik trigonometri untuk perhitungan astronomi.

     Ptolemy (120 SM) pula mengemukakan konsep alam sistem geosentrik. Ia menunjukkan bahawa bumi menjadi pusat alam dengan planet lain serta matahari beredar mengelilinginya dengan jarak dan halaju tetap.

Ilmu falak dalam zaman tamadun Islam

     Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu falak yang bercorak tradisi kepada saintifik.

     Pada zaman khalifah al-Makmum (813 - 833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.

     Ahli falak Islam telah berjaya mendapatkan ukuran lilit tersebut sebagai 40,253 kilometer (km). Ukur lilit bumi yang diperolehi dalam pengukuran moden adalah 40,084 km.

     Al-Makmum menjadikan kota Baghdad, Khufa dan Basraj sebagai pusat penyelidikan unggul dengan membina kompleks penyelidikan dan makmal yang dikenali Baitul Hikmah.

     Pada masa yang sama, terdapat sekurang-kurangnya empat balai cerap yang arif membuat penyelidikan iaitu balai cerap Kaherah, Qainun di Damsyik, Shammasia di Baghdad dan Maraghah di Turkistan.

     Antara tokoh cendekiawan Islam dalam bidang ini ialah al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Kindi.

     Al-Biruni selain mengkaji tentang geografi dan geologi turut memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet.

     Al-Khawarizmi pula membuat kajian qamari dan kenampakan anak bulan. Ibnu Sina pula pakar dalam astro fizik manakala al-Kindi dikenali sebagai pakar matematik dan geografi.

Sumber: Utusan Malaysia, Khamis 11 November 2010



© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 28 Mar 2024

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
picture Undian
picture Pengumuman