Irsyad

Iddah kematian suami

IsuApakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh isteri yang kematian suami dalam tempoh berihdad (iddah kematian suami)?
PenjelasanIddah ialah tempoh menunggu bagi isteri yang diceraikan atau kematian suami sebelum dibolehkan berkahwin dengan lelaki lain sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah Subhanahu wataala, atau berkabung kerana berpisah dengan suami atau untuk memastikan isteri tidak mengandung anak bekas suaminya.
 
Secara dasarnya, seorang isteri yang kematian suami hendaklah beriddah selama tempoh 4 bulan 10 hari dan dalam tempoh tersebut dia hendaklah berihdad (berkabung). Firman Allah Subhanahu wataala:
 
...الَّذِيْنَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُوْنَ اَزْوَاجًا يَّتَرَبَّصْنَ بِاَنْفُسِهِنَّ اَرْبَعَةَ اَشْهُرٍ وَّعَشْرًا ۚ 
Maksud: "Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari ..."
(Surah al-Baqarah: 234)
 
Bagi wanita yang beriddah kerana kematian suami, Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjang mereka berada dalam tempoh tersebut.  Antara perkara yang mesti dipatuhi adalah seperti berikut:
 
  1. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi (bukan mahram).
 
  1. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
 
  1. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam kecuali individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
 
  1. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat keperluan atau kemudaratan seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut dengan menjaga adab dan syarat dalam berihdad.
 
  1. Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah.  Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
 
  1. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
 
  1. Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  2. Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian;
 
  1. Bersolek, memakai celak, berinai dan perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.
 
Ini berdasarkan sabda Rasulullah Salallahu alaihi wasallam:
 
لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ‏
 
Maksud: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga malam melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 5334)
 
Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya.
 
Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh iddah dan berkabung itu.
PautanPENJELASAN HUKUM (40).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman