Irsyad

Jual beli haiwan

IsuAssalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum jual beli haiwan seperti burung, kura-kura, kucing, dll. Di Sarawak, apakah pandangan yang dipegang berkaitan hal ini?
PenjelasanAlhamdulillah segala puji-pujian selayaknya hanya kepada Allah Subhanahu wataala. Selawat dan salam kepada jujungan mulia Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, kepada isteri-isteri Baginda, ahli keluarga, para sahabat seterusnya yang mengikuti jejak langkah sehingga ke hari kiamat.
 
Pada masa kini, antara hobi dan minat masyarakat hari ini adalah memelihara haiwan-haiwan peliharaan yang juga dikenali sebagai pet animals. Haiwan peliharaan (pet animals) merupakan haiwan yang dipelihara untuk menjadi sahabat manusia atau memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada manusia. Selain itu, pemeliharaan haiwan peliharaan (pet animals) ini juga berbeza dengan tujuan pemeliharaan haiwan-haiwan ternakan (livestock), haiwan percubaan atau makmal (laboratory animals), haiwan pekerja, haiwan olahraga atau yang dipelihara bagi tujuan dan kegunaan ekonomi.

Hari ini, antara haiwan peliharaan (pet animals) yang sering menjadi tumpuan masyarakat adalah seperti anjing, kucing, kuda, arnab, tikus belada (hamster), burung, kura-kura, ikan dan serangga. Dalam Islam, hukum berjual beli serta memelihara haiwan peliharaan adalah dibolehkan dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi seperti berikut:
 
1) Haiwan tersebut bukan haiwan najis secara zatnya (ain atau hissi) seperti anjing dan babi. Hal ini kerana, memelihara haiwan peliharaan yang najis adalah tidak dibenarkan syarak kerana termasuk dalam perkara memanfaatkan najis yang jelas dilarang syariat. Kaedah menyebutkan: 
 
لا يجوز الانتفاع بالأعيان النجسة مطلقاً
 
Maksudnya: “Tidak boleh memanfaatkan ‘ain najis (jelas) secara mutlak”.
 
2) Haiwan peliharaan tersebut wajib diberi makan dan minum yang cukup. Hal ini kerana hukum membeli dan memelihara haiwan dengan niat menyeksa seperti tidak memberi makan dan minum yang cukup adalah haram dan berdosa. Dalilnya adalah berdasarkan sabda Rasululllah sallallahu ‘alaihi wasallam:
 
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خِشَاشِ الأَرْضِ
 
Maksudnya: Seorang perempuan masuk neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Perempuan itu tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya bebas agar dapat memakan binatang-binatang bumi.” 
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3318).
 
3) Haiwan yang dijual beli dan dipelihara bukan haiwan yang berbahaya serta boleh menimbulkan mudarat kepada manusia seperti singa,ular berbisa, beruang, buaya dan lain-lain. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
لا ضرر ولا ضرار
 
Maksudnya: Tidak boleh menimbulkan mudarat dan tidak boleh memudaratkan”.
 (Hadis riwayat Ibnu Majah, no. 2341)
 
4) Haiwan tersebut tidak bertujuan untuk melakukan perbuatan yang haram. Contohnya memelihara ayam jantan yang akan digunakan untuk perjudian (sabung ayam). Hal ini bertepatan dengan hadis:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ
Maksudnya: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan”.
(Hadis riwayat Abu Daud, no. 2562)

Kaedah menyebutkan: 
الوسيلة إلى الحرام محرمة
 
Maksudnya: “Sesuatu yang bertujuan kepada yang haram, hukumnya adalah haram”.
 
5) Haiwan tersebut bukan haiwan yang disenaraikan oleh badan yang berautoriti dalam sebuah pemerintahan (kerajaan) sebagai haiwan di bawah akta kawalan jual beli dan spesis terancam dan kian pupus sehingga memerlukan kepada kebenaran (lesen) pihak berkuatkuasa.
 
Selain daripada syarat-syarat di atas, adalah tidak disyaratkan agar haiwan peliharaan tersebut adalah haiwan yang halal dimakan (al ma`kuul). Sebagai contoh, walaupun hukum memakan daging kucing adalah haram tetapi memelihara kucing itu tetap dibolehkan. Hal ini bersesuaian dengan sirah seorang sahabat yang terkenal memelihara dan menjaga kucing iaitu Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu. Bahkan terdapat sebuah riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ beliau berkata:

قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah? Lalu beliau menjawab: Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah”.
(Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah)

Terdapat banyak perbincangan berkenaan hukum berjual beli dan memelihara haiwan peliharaan dalam kalangan para ulama terutamanya pada hukum berjual beli kucing. Namun, jumhur ulama termasuk mazhab as-syafi,i membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus, maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli.
Bagi haiwan-haiwan peliharaan (pet animals) yang lain, di sini kami kemukakan fatwa dari Lajnah Da’imah dan Ifta' (Lembaga Fatwa Arab Saudi) yang menyatakan bahawa harus (dibolehkan) jual beli dan memelihara haiwan peliharaan asalkan ia termasuk haiwan yang diiktiraf oleh uruf sebagai baik.

Kesimpulan
Berdasarkan penerangan di atas, maka kami berpandangan bahawa hukum jual beli dan memelihara haiwan peliharaan (pet animals) adalah dibolehkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah kami kemukakan di atas. Selain itu, jual beli dan pemeliharaan haiwan (pet animals) tersebut tidak membawa kepada perkara-perkara yang dilarang dalam Islam seperti berlakunya pembaziran yang melampau sekiranya membeli haiwan peliharaan tersebut dengan kos pembelian yang tinggi. Wallahu a’lam
 
 
PautanPENJELASAN HUKUM (JMS20230724-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman