Irsyad

Iddah wanita kematian suami

IsuAssalamualaikum..terdapat kemusykilan mengenai situasi berikut. Suami meninggal d hospital. Isteri membantu menguruskan jenazah dari memandikan, mengkafankan di Masjid dan menghantar sehingga ke tanah perkuburan. Apakah hukum seorang Isteri menguruskan jenazah suaminya di luar dari tempat kediaman dalam tempoh iddah. Mohon pencerahan dari pihak tuan berkenaan isu ini. Terima kasih.
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji-pujian selayaknya hanya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Selawat dan salam kepada junjungan mulia Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, kepada isteri-isteri baginda, ahli keluarga, para sahabat seterusnya yang mengikuti jejak langkah sehingga ke hari kiamat.
 
‘Iddah dari segi bahasa bermaksud bilangan, kiraan atau hitungan. Dari segi syarak dan istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh masa tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih  daripada kandungan.
 
(al-Fiqh al-Manhaji)

‘Iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘iddah kerana kematian dan ‘iddah kerana berlakunya penceraian. Bagi ‘iddah wanita atau isteri yang kematian suami, tempoh ‘iddah bagi mereka adalah selama 4 bulan 10 hari dan termasuk di dalam bilangan ‘iddah tersebut adalah hukum berkabung (ihdad). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 234:
وَالَّذِيْنَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُوْنَ اَزْوَاجًا يَّتَرَبَّصْنَ بِاَنْفُسِهِنَّ اَرْبَعَةَ اَشْهُرٍ وَّعَشْرًا ۚ

Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari. 

(Al-Baqarah: 234)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa tempoh ‘iddah bagi wanita atau isteri yang kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari. Oleh yang demikian, maka wajib bagi wanita atau isteri yang kematian suami untuk menjalani ‘iddah dan melaksanakan berkabung (ihdad) sepanjang tempoh tersebut. Sebagai panduan, di sini kami bawakan beberapa adab-adab yang perlu dipelilhara oleh golongan wanita atau isteri yang kematian suaminya sepanjang menjalani tempoh ‘iddah dan berkabung (Ihdad). Antaranya adalah:
  1. Wanita yang dalam ‘iddah dan berkabung (Ihdad) tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah adalah seperti untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya adalah pada waktu siang dan bukan pada waktu malam.  Namun pengecualian diberikan kepada wanita atau isteri yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawat dan sebagainya. Larangan keluar rumah atau bermusafir ini juga adalah termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  2. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi. 
  3. Wajib berkabung (ihdad) sepanjang tempoh `iddah. Oleh itu sepanjang tempoh tersebut mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.  Termasuk dalam larangan berhias adalah:
  1. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  2. Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin gelang rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas perak dan permata;
  3. Memakai wangi-wangian pada anggota badan rambut dan pakaian; dan
  4. Bersolek memakai celak berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.
  5. Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja tidak termasuk hiasan tempat tinggal bilik tidur dan sebagainya.
 Namun begitu, walaupun wanita yang berkabung (ihdad) dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung(ihdad) itu. Berkaitan dengan anjuran di atas, di sini juga kami bawakan hadis daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah Radiyallahu anha:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلاَ نَكْتَحِلَ، وَلاَ نَطَّيَّبَ، وَلاَ نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا، إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ، وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ، وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ‏.
 
Maksudnya: kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan kematian suami yang dibenarkan berkabung selama empat bulan 10 hari. Kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik, berseri melainkan ‘asb (sejenis pakaian perempuan arab). Ketika mandi setelah suci daripada haidh, kami dibenarkan menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari. no. 5341)
 
Kesimpulan
 
Merujuk kepada persoalan dan dalil serta garis panduan yang dinyatakan, kami berpandangan bahawa urusan seperti isteri membantu memandikan, mengkafankan dan menguruskan jenazah di masjid serta menghantar jenazah suami sehingga ke tanah perkuburan adalah tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang mendesak untuk keluar daripada rumah. Malah, pengurusan jenazah suami boleh dilakukan oleh ahli kerabat yang lain. Justeru, pada hemah kami, adalah memadai bagi wanita atau isteri untuk tinggal dan menunaikan solat jenazah di rumah sahaja sekiranya ingin melakukannya. Selain itu, isteri juga tidak digalakkan untuk mengikuti jenazah ke perkuburan bagi menghormati hukum berkabung (ihdad) dalam tempoh iddah yang telah ditetapkan oleh syarak. Sekiranya waktu iddah sudah tamat, maka tiada halangan untuk isteri menziarahi kubur suaminya selama mana dia dapat memelihara akhlak serta adab-adab ketika menziarahi kubur. Wallahu a’lam
PautanPENJELASAN HUKUM (JMS20231025-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman