| Isu | Apakah hukum memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam? |
| Penjelasan | Tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan Muslim daripada susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka. Qatadah Rahimahullah telah berkata: لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَه
Maksud: “Tiada masalah memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihan.” (Hadis Riwayat Abd al-Razzaq, 10155) Imam al-Qurtubi Rahimahullah juga menyebutkan di dalam tafsirnya yang bermaksud: “Telah berkata Abu Umar; dan tidak mengapa dengan memakan makanan golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) daripada kalangan kuffar selain daripada sembelihan mereka.” (al-Jami’ li Ahkam al-Quran) Dibolehkan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan Muslim selagi mana sumber makanan itu adalah halal dan bukannya daripada hasil sembelihan mereka serta tidak bercampur dengan bahan-bahan yang diharamkan. Walaupun begitu, umat Islam digalakkan untuk mengambil makanan yang disediakan oleh orang yang bertakwa. Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda dengan memberi peringatan kepada umatnya: وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ
Maksud: " dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertakwa." (Hadis Riwayat Abu Daud, 4832) |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (43).pdf |