| Isu | Saya ingin mengetahui mengenai istihadah dan bagaimana untuk menentukannya? |
| Penjelasan | Istihadah merupakan darah yang keluar dari faraj wanita bukan pada waktu kebiasaan haid mahupun nifas. Istihadah ini merupakan penyakit yang terjadi kepada sesetengah wanita. Apabila seseorang wanita mengalami istihadah mereka wajib menunaikan ibadah seperti solat, puasa dan lain-lain sebagaimana wanita normal.
Majoriti fuqaha berpendapat sekurang-kurang tempoh suci di antara dua haid ialah 15 hari. Mereka membahagikan satu bulan kepada dua bahagian iaitu 15 hari untuk tempoh suci yang hakiki dan 15 hari lagi ialah maksimum haid. Sekiranya seseorang wanita mendapati darah dalam tempoh ini (15 hari suci hakiki) darah tersebut dianggap darah istihadah. Hari yang berbaki 15 hari dibahagikan kepada hari kebiasaan haid dan hari suci. Contohnya jika tempoh kebiasaan haid seseorang wanita itu tujuh hari dalam satu bulan, maka 8 hari yang baki lagi dikira hari suci bagi wanita itu. Andainya darah keluar dalam masa lapan hari yang berbaki itu, sama warna darahnya yang keluar pada hari kebiasaan haid maka dikira darah haid juga. Sebaliknya jika darah yang keluar itu tidak menyerupai darah haid maka dia adalah darah istihadah (ini bagi wanita yang dapat membezakan warna darah dan tetap tempoh kebiasaan haidnya).
Untuk mengira permulaan haid yang seterusnya, maka perlulah meneliti perbezaan warna darah tersebut sama ada darah tersebut darah istihadah ataupun darah haid. Jika tidak dapat dibezakan darah tersebut, maka kiraan tempoh haid boleh diambil kira berdasarkan tempoh kebiasaan haid iaitu maksimum tempoh suci (15 hari) dan pada hari ke 16 tersebut adalah permulaan haid yang seterusnya. Sekiranya perkara tersebut tidak dapat dibezakan, maka adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan pakar perubatan untuk mendapatkan kepastian akan darah yang dialami. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (9).pdf |