Irsyad

Hukum Penggunaan Cadar dan Sarung Bantal Sutera Atas Faktor Kesihatan Kulit

Isu​Assalamualaikum w.b.t. ​Saya ingin memohon pencerahan mengenai hukum menggunakan sarung bantal, bantal peluk, cadar, dan alas katil yang diperbuat daripada kain sutera (mulberry silk). ​Tujuan utama saya bukanlah untuk berhias atau bermegah, tetapi murni atas faktor kesihatan dan kebersihan (hajat/perubatan). Kulit saya mudah mengalami masalah jerawat yang teruk dan alahan kepada hama. Selain itu, saya menggunakan produk penjagaan kulit perubatan yang mahal untuk merawat masalah ini. Jika menggunakan kain kapas, ubat tersebut akan meresap ke dalam kain dan membazir, serta membiakkan bakteria yang memburukkan lagi keadaan kulit saya. Kain sutera dapat mengelakkan masalah ini. ​Memandangkan sutera haram dipakai oleh lelaki, adakah pemakaiannya dibenarkan dalam situasi ini sebagai satu keperluan perubatan/kesihatan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Penjelasan

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.. 

Pada asalnya, hukum memakai sutera bagi lelaki adalah haram, berdasarkan nas yang sahih. Antaranya hadis daripada saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahu 'anhu bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَىٰ ذُكُورِ أُمَّتِي، حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dua perkara ini (emas dan sutera) adalah haram ke atas lelaki dalam kalangan umatku dan halal bagi perempuan mereka.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, No. 3595) 

Namun demikian, para fuqaha' amzhab al-Syafi'i menjelaskan bahawa pengharaman ini dikecualikan dalam keadaan darurat atau keperluan (hajah) seperti untuk tujuan perubatan. Di dalam Fathul Mu'in disebutkan:  

وَلِحاجَةٍ كَجَرَبِ إِنْ آذاهُ غَيْرُهُ، أَو كانَ فِيهِ نَفْعٌ لَا يُوجَدُ فِي غَيرِهِ، وَقَمْلِ لَمْ يَنْدَفِعْ بِغَيْرِهِ

Maksudnya: "Dan (dihalalkan sutera) kerana keperluan, seperti kudis apabila selainnya menyebabkan mudarat kepadanya, atau apabila terdapat manfaat padanya yang tidak terdapat pada selainnya; dan (juga diharuskan) kerana masalah kutu yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengannya."

Begitu juga dinyatakan dalam taqrirat as-sadidah: 

وكدفْع جَرَبٍ وقُمَّلٍ وحَكَّةٍ

Maksudnya: "…begitu juga (diharuskan) untuk mengubati penyakit kudis, kutu, gatal-gatal…"

Ketetapan dan keperluan ini adalah berasaskan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Anas Radiallahu ‘anhu: 

رَخَّصَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا‏‏ 

Maksudnya: “Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi rukhsah (keringanan) kepada al-Zubair dan ‘Abd al-Rahman untuk memakai sutera kerana mereka berdua mengalami penyakit gatal.”

(Hadis riwayat al-Bukhari. No.5839) 

Dari sudut kaedah fiqh pula, perkara ini bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.” 

Berdasarkan nas hadis riwayat al-Bukhari dan kupasan para fuqaha', hukum lelaki menggunakan sarung bantal, bantal peluk, cadar dan alas katil daripada sutera atas dasar perubatan adalah harus dengan mendapat perakuan daripada pakar yang dipercayai.

وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ 

 

PautanMulberryParkSilks-22MommeSilkPillowcase-Main-Ivory_5000x.jpg
PENJELASAN HUKUM (JMS20260406-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 05 May 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup