Irsyad

Harta pusaka ibu

IsuAssalamualaikum...saya ingin bertanya ttg beberapa perkara 1. Hukum Dari segi Islam menggadai brg kemas peninggal arwah ibu. 2. Menggunakan duit arwah ibu utk melangsaikan hutang (bkn hutang ibu) 3. Adakah sebagai anak kita perlu menunaikan semua amanah yg telah ibu minta sblm dia meninggal?
PenjelasanJAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wata’ala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Seseorang yang telah meninggal dunia akan meninggalkan segala yang dimilikinya termasuklah harta dan seumpamanya. Segala aset harta pemilikan si mati akan menjadi harta pusaka. Harta pusaka ini hendaklah diurus dengan cara yang baik seperti mengurus hal pengebumian, menyelesaikan hutang, harta sepencarian, melaksanakan wasiat yang tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan harta, hibah, dan seterusnya melalui pembahagian faraid  yang dibahagi kepada semua ahli waris yang berhak.
Meneliti kepada isu yang ditimbulkan,
  1. Barang kemas peninggalan arwah ibu termasuk dalam harta pusaka. Setelah selesai menanggung kos pengebumian jenazah, menyelesaikan hutang, harta sepencarian, melaksanakan wasiat yang tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan harta dan hibah, jika masih terdapat baki dari harta tersebut, ianya dibahagikan melalui proses faraid kepada ahli waris yang berhak. Harta yang telah dibahagikan kepada waris akan menjadi milik waris tersebut dan waris tersebut berhak untuk menggunakannya termasuklah menggadaikannya sekalipun.
  2. Berbalik kepada penjelasan dalam isu 1, setelah harta tersebut dibahagikan kepada waris yang berhak, waris tersebut boleh menggunakannya menurut kehendaknya termasuklah membayar hutang dan seumpamanya.
  3. Amanah yang diminta oleh ibu sebelum meninggal juga disebut sebagai wasiat. Wasiat yang dilakukan hendaklah memenuhi syarat wasiat yang telah ditetapkan oleh syarak. Sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan dan wasiat itu juga sah, maka wajib ditunaikan, namun sekiranya tidak memenuhi syarat wasiat dan wasiat tersebut tidak sah, maka wasiat tersebut tidak wajib ditunaikan.
 
Berikut kami sertakan rukun, syarat serta kadar wasiat untuk rujukan tuan.
Rukun Wasiat
  • Pewasiat;
  • Penerima wasiat (benefisiari);
  • Harta yang diwasiat; dan
  • Sighah (lafaz wasiat).
Syarat Pewasiat
  • Telah mencapai umur lapan belas tahun;
  • Sempurna akal;
  • Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa; dan
  • Tidak dihalang daripada mengurus hartanya.
Syarat Penerima Wasiat (Benefisiari)
  • Diketahui dengan jelas;
  • Penerima wasiat hendaklah wujud ketika wasiat dibuat ;dan
  • Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan menurut mana-mana undang-undang bertulis dan bukan ahli waris
Syarat Harta Yang Diwasiat
  • Harta yang boleh dipusakal seperti tanah atau rumah.
  • Mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Boleh atau layak untuk dimiliki. Tidak sah barang yang tidak boleh dipindah milik seperti hukuman penjara dan sebagainya:
  • Kepunyaan orang yang berwasiat.
  • Bukan barang atau harta yang haram.
Kadar Harta Yang Boleh Diwasiatkan
  1. Pewasiat digalakkan agar tidak mewasiatkan hartanya melebihi daripada hartanya.
  2. Wasiat yang melebihi 1/3 daripada harta adalah sah dengan syarat-syarat berikut:
  1. 3keizinan daripada ahli waris hendaklah diperoleh setelah orang yang berwasiat meninggal dunia.
  2. Ahli waris yang memberi keizinan tersebut hendaklah mempunyai kuasa berhak (ahliah tasarruf) untuk berbuat demikian.
  3. Orang yang menerima wasiat bukan ahli waris.
  4. Orang yang menerima wasiat bukan pembunuh orang yang berwasiat.
  5. Harta yang diwasiatkan itu boleh dimiliki setelah orang yang berwasiat meninggal dunia.
       3. Sekiranya pewasiat tidak mempunyai ahli waris, kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah tidak melebihi 1/3.

 
Wallahu a’lam.
 
PautanPENJELASAN HUKUM (JMS20230821-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman