| Isu | Cara beristinjak dengan betul |
| Penjelasan | JAWAPAN Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya bagi Allah subhanahu wata’ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam beserta ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda sehingga hari kiamat. Islam mensyariatkan umatnya untuk menyucikan diri daripada najis dengan cara beristinjak daripada semua hadas, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar dengan berwuduk dan mandi wajib sebelum menunaikan sebahagian ibadah yang disyaratkan untuk bersuci seperti menunaikan solat, memegang mushaf al-Quran, tawaf dan seumpamanya. Istinjak boleh dilakukan sama ada menggunakan air atau apa yang boleh menggantikannya daripada bahan kesat seperti batu atau tisu, atau menggunakan kedua-duanya sekali. Para ulama’ telah menerangkan cara yang afdhal dalam melakukan istinjak tersebut. Caranya adalah dengan menghilangkan terlebih dahulu ‘ain najis itu dengan bahan yang kesat, kemudian dibasuh dengan air bagi menghilangkan sisa-sisa kesan najis tersebut tanpa menyentuh najis tersebut menggunakan tangan. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam kebanyakan kitab-kitab Fiqh al-Syafie, antaranya yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqna’: Maksud: Dan cara yang paling afdhal adalah dengan beristinjak terlebih dahulu menggunakan batu atau benda yang seumpamanya, kemudian diikuti pula dengan basuhan air. Hal ini kerana ‘ain najis tersebut akan hilang dengan batu atau benda yang seumpamanya, manakala sisa-sisa kesan najis itu akan hilang dengan basuhan air tanpa perlu untuk bersentuhan dengan najis. (Rujuk al-‘Iqna fi Hall al-Alfaz Abi Syuja’, 1:53)
KESIMPULAN Istinjak adalah perbuatan menyucikan najis daripada qubul atau dubur dengan menggunakan air mutlak atau benda kesat sehingga hilang rupa, warna, bau najis tersebut. Ini adalah cara istinjak yang utama. Sekiranya tidak ada benda-benda kesat, memadai beristinjak dengan menggunakan air. Sekiranya diberi pilihan antara menggunakan benda-benda kesat ataupun air, maka lebih utama menggunakan air. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin Wallahu a’lam. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20230221-001).pdf |