Irsyad

Kemusykilan Agama

IsuAssalamualaikum, di sini saya ada beberapa persolan yang ingin di tanya. Mohon jasa baik pihat Tuan untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran saya ini. 1. Adakah wanita yang telah menggunakan niqab dalam tempoh masa yang lama tidak boleh berhenti menggunakan niqab kerana muka mereka rtelah menjadi sebahagian daripada aurat? dalam pengetahuan saya, hukum menggunakan niqab adalah harus, dan muka bukanlah sebahagian daripada aurat. bagi mereka yang telah menggunakan niqab, mereka boleh membuka niqab atas sebaba-sebab tertentu seperti tuntutan kerja. namum, adakah mereka boleh berhenti menggunakan niqab seperti wanita yang bertudung menjadi "free hair". adakah ia satu dosa? 2. sekiranya kita tersedar bahawa kita telah terlebih rakaat di dalam solat, adakah kita perlu terus duduk tahiat akhir dari keadaan berdiri atau perlu habiskan rakaat tersebut? 3. sekiranya kita tidak sempat bersama imam dalam rakaat pertama solat jumaat, adakah kita hanya perlu menambah satu rakaat sahaja atau menambah tiga rakaat? mohon pihak Tuan boleh sertakan dalil dalam menjawab persoalan saya supaya saya dapat berkongsi ilmu ini dengan orang lain. Terima Kasih.
PenjelasanJAWAPAN

Alhamdulillah segala puji-pujian selayaknya hanya kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada jujungan mulia Rasulullah SAW, kepada isteri-isteri baginda, ahli keluarga, para sahabat seterusnya yang mengikuti jejak langkah sehingga ke hari kiamat.
 
JAWAPAN SOALAN 1
 
Aurat dari segi bahasa bermaksud kekurangan, keaiban dan keburukan. Ia dinamakan aurat kerana keburukan penampilannya dan dipejamkan mata daripadanya. Dari segi istilah pula, aurat bermaksud setiap yang wajib ditutup, atau diharamkan melihatnya, dan menutupnya adalah wajib ketika dalam sembahyang. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah subhanahu wataala dalam surah al Araf ayat 31:
 
يَٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)
 
(Al-Muktamad ‘Ala Fiqhu as-Syafi’i)
 
Menurut jumhur ulama dalam mazhab as-Syafi’I, batasan bagi aurat seorang perempuan ketika di hadapan lelaki asing sama ada muslim atau kafir adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua telapak tangan. Hal ini berdasarkan firman Allah subhanahu wataala:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
 
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya…
(Surah Al-Nur 24:31)
 
Dalam ayat di atas, maksud zahir ialah sesuatu yang yang pada kebiasaannya sudah terdedah, selalu dipergunakan untuk kerja harian dan tidak merangsangkan nafsu kaum lelaki secara normal. Anggota yang zahir ini ditafsirkan sebagai muka dan telapak tangan.
(Fiqhul Hadith Syarah Bulugh Al-Maram)

Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa muka bukanlah aurat yang wajib ditutup dan membukanya bukanlah merupakan suatu dosa. Berkenaan dengan kenyataan bahawa membuka niqab adalah berdosa seperti seorang perempuan yang asalnya bertudung lalu membuka tudungnya (free hair) adalah tidak tepat. Di dalam ilmu usul fiqh, kenyataan seperti ini disebut sebagai “qiyas ma’al fariq” iaitu qiyas yang tidak tepat perbandingannya kerana rambut adalah aurat yang wajib ditutup sepertimana yang disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Wallahu a’lam

JAWAPAN SOALAN 2
 
Antara perkara yang membatalkan solat adalah menambah rukun fi’li (perbuatan) dengan sengaja. Antara contoh menambah rukun fi’li (perbuatan) adalah sengaja menambah rakaat di dalam solat. Dalam situasi di atas,  apabila seseorang itu tersedar bahawa dia telah terlebih rakaat, sebagai contoh, ketika dia sedang mengerjakan sembahyang fardhu maghrib, dia teringat bahawa rakaat yang disangkakannya rakaat ketiga yang sedang dikerjakannya ketika itu sebenarnya adalah rakaat yang keempat, maka dalam hal ini, wajib dia turun serta merta meninggalkan rakaat tambahan (yang keempat) itu untuk mengerjakan tahiyyat akhir, sekiranya sebelum dia bangkit mengerjakan rakaat tambahan itu dia belum mengerjakan tahiyyat akhir, kemudian sunat dia mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam. Wallahu a’lam

JAWAPAN SOALAN 3
 
Hukum ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda:
مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memperolehi satu rakaat daripada solat, maka dia memperolehi solat tersebut”
(Riwayat an-Nasa'i, no.553)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda:
مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”
(Riwayat Ibn Majah, no.1121)

Ini bermaksud, jika makmum mendapatkan imam selepas rukuk pada rakaat kedua solat Jumaat, maka luputlah Jumaat daripadanya.
(Faidh al-Ilah al- Malik)

Kesimpulannya, orang yang sempat bersama imam selepas imam selesai rukuk yang kedua dalam solat jumaat hendaklah menyempurnakan solat jumaat tersebut seperti solat zohor (4 Rakaat). Wallahu a’lam
 
PautanPENJELASAN HUKUM (JMS20231002-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 24 Apr 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup