Irsyad

Waktu bermula puasa

IsuBilakah bermulanya waktu berpuasa, adakah waktu azan Subuh atau habis azan Subuh?
PenjelasanPuasa merupakan ibadah yang telah ditentukan waktunya. Seseorang yang berpuasa ditegah daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkannya bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari, sepertimana firman Allah Subhanahu wataala:
 
اُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ اِلٰى نِسَاۤىِٕكُمْ ۗ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَاَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللّٰهُ اَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُوْنَ اَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ ۚ فَالْـٰٔنَ بَاشِرُوْهُنَّ وَابْتَغُوْا مَا كَتَبَ اللّٰهُ لَكُمْ ۗ وَكُلُوْا وَاشْرَبُوْا حَتّٰى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْاَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْاَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِۖ ثُمَّ اَتِمُّوا الصِّيَامَ اِلَى الَّيْلِۚ وَلَا تُبَاشِرُوْهُنَّ وَاَنْتُمْ عَاكِفُوْنَۙ فِى الْمَسٰجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُوْدُ اللّٰهِ فَلَا تَقْرَبُوْهَاۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ اٰيٰتِهٖ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُوْنَ


Maksud: “Dihalalkan bagimu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isterimu, mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 187)
 
Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar Radiallahu anhuma, bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
 
إِنَّ بِلاَلاً يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ ‏
Maksud: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam maka makan dan minumlah sehingga diseru (azan) oleh Ibn Ummi Maktum”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 622 dan Muslim, 1092)
 
Berdasarkan hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa hendaklah berhenti makan apabila masuknya waktu solat Subuh.
 
Walau bagaimanapun, di dalam jadual waktu berbuka puasa yang disediakan, terdapat jadual waktu imsak iaitu waktu yang dianjurkan kita berhenti makan atau minum sebagai sikap berhati-hati sebelum terbitnya fajar yang menandakan telah masuknya waktu solat fardu Subuh. Penetapan kadar tempoh imsak adalah berdasarkan hadis daripada Zaid ibnu Thabit Radiallahu anhu bahawa beliau berkata:
 
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ‏.‏ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
Maksud: “Kami telah bersahur bersama-sama Nabi Sallallahu alaihi wasallam, kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas ibnu Malik Radiallahu anhu bertanyakan kepada Zaid ibnu Thabit Radiallahu anhu): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid ibnu Thabit Radiallahu anhu: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 1921)
 
 
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah, mengatakan bahawa kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah dengan kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang panjang, tidak juga ayat yang terlalu pendek. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).
PautanPENJELASAN HUKUM (16).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman