Irsyad

Irsyad

Memakai cekak rambut bagi lelaki

IsuSaya ingin bertanya, apakah hukum memakai sekang atau cekak rambut bagi lelaki yang berambut panjang dalam solat?
PenjelasanIslam amat mementingkan imej yang kemas dan cantik. Penampilan yang elok lagi cantik merupakan suatu yang dituntut dalam agama. Berdasarkan firman Allah Subhanahu wataala:
 
...يٰبَنِيْٓ اٰدَمَ خُذُوْا زِيْنَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap kali menuju tempat ibadah…”
(Surah al-A’raf: 31)
 
Tuntutan berpenampilan kemas dan bersih di tempat ibadah seperti masjid adalah amat digalakkan, termasuklah dalam hal ini apabila mengerjakan solat, membaca al-Quran, dan seumpamanya. Baginda Sallallahu alaihi wasallam juga menyebutkan perihal tentang penampilan diri dalam sebuah hadis daripada Ata` bin Yasar Radiallahu anhu mengkhabarkan kepada Zaid bin Aslam Radiallahu anhu bahawa:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَدَخَلَ رَجُلٌ ثَائِرَ الرَّأْسِ وَاللِّحْيَةِ فَأَشَارَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِيَدِهِ أَنِ اخْرُجْ كَأَنَّهُ يَعْنِي إِصْلاَحَ شَعَرِ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ فَفَعَلَ الرَّجُلُ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم:  أَلَيْسَ هَذَا خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدُكُمْ ثَائِرَ الرَّأْسِ كَأَنَّهُ شَيْطَانٌ ‏
 
Maksud: “Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam berada di masjid suatu ketika, kemudian masuk seorang lelaki yang berambut dan berjanggut menggerbang. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam mengisyaratkan kepada lelaki itu dengan tangannya agar memperelokkan rambut dan janggutnya. Lelaki tersebut melakukannya dan datang kembali. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Bukankah ini lebih baik daripada salah seorang daripada kamu yang kusut masai seperti syaitan.”
(Hadis Riwayat Malik, 3494)
 
Imam al-Baji al-Maliki Rahimahullah mensyarahkan hadis ini: “Ini menunjukkan bahawa keluar daripada masjid itu untuk memperelokkan rambut itu adalah disuruh (oleh Syarak). Ini bagi kerana memperelokkannya di dalam masjid adalah dilarang kerana akan menyelerakkan masjid daripada apa yang jatuh daripada rambutnya. Mungkin juga itu akan mengganggu ahli masjid daripada kutu yang ada pada orang yang tidak menjaga rambut dengan menyikat dan membersihkan. Hukum bagi janggut juga seperti hukum rambut bahkan lebih utama; kerana kepala boleh ditutup sedangkan janggutnya terpampang.”  (al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’)
 
Berpakaian kemas dan cantik jelas dianjurkan dalam agama, namun perkara berkaitan menutup kepala ketika solat telah dibincangkan oleh ulama.
Pandangan menurut Syeikh Abu Bakar al-Dimyathi yang bermazhab Syafi’ menyatakan bahawa mendedahkan kepala dan bahu ketika solat bagi lelaki adalah makruh, kerana ia bertentangan dengan anjuran sunnah agar memperelokkan pakaian sewaktu dalam solat dengan menutup kepala dan bahu. (I’anatu al-Tolibin).

Pandangan tersebut adalah kerana perbuatan yang dilakukan merupakan suatu usaha yang baik. Namun begitu, tiada satu pun hadis yang sahih yang boleh dijadikan sandaran untuk menghukumkan sunat menutup kepala ketika solat, mahupun ketika keluar dari rumah bagi orang lelaki. Namun di sebahagian negara, menutup kepala ketika solat merupakan satu adat kebiasaan yang dianggap baik dan dianjurkan, maka ia boleh menjadi satu perkara sunat menurut syara’. Ini berdasarkan keumuman dalam surah al-A’raf ayat 31 yang telah dinyatakan. Manakala perihal mengikat rambut ketika solat disebutkan dalam sebuah hadis iaitu:
 
أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: مَا لَكَ وَرَأْسِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: ‏إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ
 
Maksud: Bahawa beliau (Ibn Abbas) melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lalu berdiri dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lalu dia menghadap Ibn Abbas dan berkata: “Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?” Lalu Ibn Abbas menjawab: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.”
(Hadis Riwayat Muslim, 492)
 
Ibn al-Athir Rahimahullah berkata: “Maksud hadis ini adalah apabila orang yang solat rambutnya diuraikan (tidak diikat), maka rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya. Namun, apabila rambutnya diikat, jadilah ia termasuk dalam maksud orang yang tidak sujud. Ia diumpamakan dengan orang yang terikat kedua tangannya, kerana kedua tangan tersebut tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud (sepertimana rambut yang diikat ke belakang tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud).” (al-Nihayah fi Gharib al-Hadith).
 
Hukum ini (larangan mengikat rambut ketika solat) adalah khusus bagi lelaki, tidak bagi wanita. Hal ini kerana rambut para wanita adalah aurat, wajib ditutup di dalam solat. Apabila mereka melepaskan ikatan rambut, boleh jadi rambutnya terurai dan sukar untuk menutupnya sehingga membatalkan solat. Di samping, ia akan menyukarkannya apabila perlu melepaskan rambut ketika hendak solat. (Nail al-Authar).
 
Berdasarkan keterangan di atas, maka dapat disimpulkan seperti berikut:

 
  1. Berpakaian dan berpenampilan kemas adalah amat dituntut dalam agama tatkala mengunjungi tempat-tempat ibadah seperti masjid dan seumpamanya .
  2. Memperelok dan merapikan rambut merupakan amalan yang disukai dan sering dilakukan baginda Sallallahu alaihi wasallam semasa hidupnya.
  3. Menutup kepala dengan memakai kopiah, serban dan songkok adalah pakaian yang baik yang biasa dilazimi umat Islam semasa solat dan ia suatu amalan yang disunatkan.
 
Oleh yang demikian, dapat dijelaskan bahawa penggunaan sekang atau cekak rambut hendaklah dielakkan apabila dalam solat walaupun sah solatnya kerana terdapat padanya unsur-unsur penyerupaan kepada perhiasan wanita. Justeru, adalah dinasihatkan agar memakai seperti kopiah dan seumpamanya.
Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dalam menjalankan ibadah terutamanya dalam isu-isu yang telah disebutkan di atas.
PautanPENJELASAN HUKUM (47).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 20 Dec 2024

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup