| Isu | ASSALAMUALAIKUM.. 1) ADAKAH BOLEH SEORANG WANITA MENUNAIKAN PUASA ENAM SYAWAL TERLEBIH DAHULU BERBANDING PUASA GANTI KERANA DIKHUATIRI TIDAK SEMPAT MENUNAIKAN PUASA ENAM DALAM BULAN SYAWAL. 2) BOLEHKAH NIAT PUASA ENAM SYAWAL DAN NIAT PUASA GANTI DIGABUNGKAN. |
| Penjelasan | Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wata‘ala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Puasa 6 dalam bulan Syawal ialah mengerjakan puasa sunat selama 6 hari di dalam bulan Syawal. Ia merupakan puasa yang digalakkan ke atas umat Islam untuk melaksanakannya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالِ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim, Sahih Muslim, no. 1164) Puasa sunat enam Syawal ini boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang hari asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal. Puasa Syawal Digabungkan Dengan Puasa Qada’ Harus hukumnya berniat qada’ puasa yang wajib dan puasa sunat seperti puasa Syawal sekaligus pada hari yang sama. Maka terlepaslah daripadanya hutang puasa yang wajib tersebut dan memperoleh ganjaran puasa sunat Syawal. Walau bagaimanapun, afdhal melaksanakan puasa secara berasingan iaitu puasa qada’ pada hari yang lain dari puasa Syawal dengan mendahulukan puasa qada’ lebih-lebih lagi sekiranya puasa tersebut ditinggalkan tanpa uzur syari’e. Berkata Syeikh Dr Ali Jum’ah: نعم يجوز للمسلم أن ينوي نية صوم النافلة مع نية صوم الفرض، فيقضي ما فاته من رمضان في شهر شوال ويكتفي بكل يوم يقضيه عن صيام يوم من الست من شوال، ويحصل بذلك على الأجرين، والأكمل والأفضل أن يصوم كلًّا منهما على حدة. (دار الإفتاء المصرية) Maksudnya: “Ya harus bagi seorang Muslim berniat puasa sunat serta niat puasa fardu. Maka dia telah menunaikan puasa yang telah luput dari Ramadhan pada bulan Syawal dan memadai dengan setiap hari yang dia tunaikan itu dari puasa satu hari dari enam hari bulan Syawal dan hasil dengan yang demikian itu beroleh kedua-dua ganjaran. Dan lebih sempurna dan lebih afdhal ialah dia mempuasakan setiap dari keduanya secara berasingan.” (Dar al-Ifta’ Mesir) Kesimpulannya, seseorang yang mengqada’ puasa dan menggabungkannya bersama-sama puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah diharuskan dengan mendahulukan niat qada’ puasa terlebih dahulu. والله أعلمُ بالـصـواب |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20250407-001).pdf |