| Isu | Adakah perlu mandi wajib sekiranya mimpi basah? semasa tidur ada terasa keluar air mani. Tetapi apabila bangun daripada tidur, tiada kesan air mani di seluar dalam dan tiada bau air mani. Mohon pencerahan tuan. Sekian, Jazakallahu khairan. |
| Penjelasan | Jawapan: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah subhanahu wata’ala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Mandi wajib adalah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Antara sebab mewajibkan mandi adalah keluar mani, sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal (al-Fiqh al-Manhaji). Namun yang demikian, sekiranya seseorang meyakini tiada kesan atau bau air mani di seluar dalam maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib. Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummu Sulaim radiyallahu anha beliau bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ غُسْلٌ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Maksudnya: Adakah seorang perempuan perlu mandi wajib apabila dia bermimpi ? Maka nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Ya, sekiranya dia melihat air (mendapati keluarnya air mani). (Riwayat Al-Bukhari no. 6091)
Hal ini juga bersesuaian dengan kaedah fiqh: اليَقِينُ لَا يُزَالُ إِلَّا بِاليَقِين
Maksudnya : Keyakinan tidak dihilangkan melainkan dengan suatu keyakinan juga. Oleh itu, seseorang yang meyakini bahawa dirinya masih berada dalam keadaan suci (taharah), kemudian timbul rasa ragu-ragu sama ada berlaku hadas atau tidak seperti keluar mani, maka dia dihukumkan masih kekal berada dalam keadaan suci dan tidak perlu baginya untuk mandi wajib. Wallahua'lam |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20240125-001).pdf |