| Isu | Assalammualaikum. saya terdapat 2 soalan:- 1)Jika imam solat jumaat pada rakaat pertama hanya sujud sekali sahaja dan bangun terus untuk rakaat kedua.apakah status solat jumaat tersebut?adakah sah?dan apakah tindakan makmum bila mengetahui imam tersalah dan telah menegur. 2. Bagaimana pula jika untuk solat berjemaah, imam bangun sehingga menambah rakaat?adakah sah solat jemaah tersebut?apakah tindakan makmum dibelakang?adakah terus mengikuti imam atau mufaraqah? Sekian, Terima Kasih. |
| Penjelasan | JAWAPAN Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Jika imam tersalah atau terlupa dalam mana-mana perbuatan solat, ia tidak membatalkan solat imam tersebut. Ikatan para makmum dengannya belum lagi terputus. Perbuatan-perbuatan imam sewaktu terlupa itu tidak dianggap menambah atau mengurangi rukun- rukun solat dengan sengaja. Rasulullah bersabda: إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْه .
Sesungguhnya Allah tidak mengambil kira (sebagai suatu ibadah/ sebagai suatu kesalahan) daripada umatku pada perbuatan yang tersalah, terlupa dan apa yang dipaksa melakukannya. (Riwayat Ibnu Majah no. 2045 dan Ibnu Hibban no. 7219)
Merujuk kepada situasi yang diajukan di atas (Imam terlupa sujud kedua), kami datangkan pandangan Datuk Haji Abdul Kadir Hassan (mantan Mufti Sarawak) berkenaan perkara yang perlu dilakukan oleh makmum:“Makmum itu boleh menunggu imam dalam keadaan sujud kerana boleh jadi imam teringat dan kembali mengulangi rukun yang telah ditinggalkan itu. Akan tetapi makmum tidak harus menunggu imam itu dalam duduk antara dua sujud kerana duduk antara dua sujud itu termasuk rukun yang pendek (rukun yang tidak boleh dipanjangkan masanya lebih daripada kadar bacaan wirid atau lebih panjang daripada bacaan tasbih yang wajib). Sekiranya seseorang itu duduk di antara dua sujud selama kadar membaca tasbih wajib maka batallah solatnya. Dalam masalah menunggu imam bangkit daripada sujud pertama terus berdiri, makmum tidak harus menunggu imam dalam duduk antara dua sujud. Akan tetapi diharuskan bagi makmum menunggu imam itu dalam keadaan sujud kerana sujud itu adalah daripada rukun yang panjang (rukun itu boleh dipanjangkan masanya seberapa lama sekalipun, iaitu lawan daripada rukun yang pendek tadi). Apa yang perlu dilakukan imam adalah duduk diantara dua sujud dan kemudian melaksanakan sujud yang kedua (yang tertinggal tadi). 2) Jika imam tidak memperbetulkan keadaan tersebut selepas ditegur maka makmum diberi pilihan kedua iaitu makmum boleh berniat mufaraqah (مفارقة) iaitu berpisah dari mengikuti imam dan menyelesaikan solat itu secara bersendirian. Kedua-dua cara atau jalan seperti yang diterangkan itu haruslah bagi makmum mengambil salah satu daripadanya. Tetapi daripada dua jalan ini cara kedua adalah lebih afdal iaitu mufaraqah daripada makmum menunggu imam dalam sujud sebagaimana yang telah dijelaskan. 3) Akan tetapi tidak harus bagi makmum mengambil jalan yang ketiga iaitu makmum tidak menunggu imamnya dalam sujud dan tidak pula dia berniat mufaraqah tetapi terus mengikut imam berdiri dalam keadaan sedar akan kesalahan imam itu dianggap sengaja melakukan kesalahan dan batal solat makmum tersebut. Bagi persoalan kedua pula, solat jemaah tersebut adalah sah jika perlakuan imam tersebut dilakukan secara tidak sengaja dan menurut keyakinannya. Namun, makmum yang mengetahui bahawa imam bangkit menunaikan rakaat tambahan pada solat tersebut hendaklah sama ada menunggu imam pada posisi tahiyat akhir (sekiranya imam melakukan penambahan rakaat pada solat) ataupun makmum tersebut perlu berniat mufaraqah dan menyempurnakan solat tersebut secara bersendirian. Wallahu a’lam |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20231206-002).pdf |