Irsyad

Makan menggunakan bekas bersadur emas

IsuApakah hukum makan dan minum dengan bekas yang bersadur emas?
PenjelasanBekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak, kemudian disadurkan luarannya dengan warna keemasan (iaitu bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi Sallalahu alaihi wasallam dalam hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas.
 
Di dalam hadis, Nabi Sallallahu alaihi wasallam hanya melarang bekas yang diperbuat dari emas dan perak sahaja (tanpa menyebut bekas dari bahan selain keduanya). Sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam:
لاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلاَ تَلْبَسُوا الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الآخِرَةِ
Maksud: “Janganlah kamu minum di dalam bekas emas dan juga perak, dan janganlah kamu memakai sutera dan dibaj (pakaian bersulam sutera), sesungguhnya kesemuanya itu adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia dan bagi kamu ianya di syurga.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 5633)
 
Berkata Imam al-Nawawi; “Telah disepakati oleh sekalian ulama bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan” (Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi).
 
Adapun jika ia disadurkan dengan emas sebenar, hukumnya mengikut mazhab adalah seperti berikut:
 
Mazhab Syafii menyatakan harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafii juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, dan Mughni al-Muhtaj)
 
Kesimpulannya, menurut jumhur ulama bahawa bekas yang disadur dengan emas, jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi daripada bekas, tidak haram menggunakan bekas saduran tersebut. Namun jika saduran emas itu banyak, maka hukumnya adalah haram.
PautanPENJELASAN HUKUM (45).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman