| Isu | Jika saya membeli barangan elektrik secara ansuran dengan dinyatakan harga tunai berbeza dengan harga ansuran, adakah harga ansuran tersebut dikira riba? |
| Penjelasan | Secara umumnya jual beli dapat dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. Antaranya adalah jual beli dengan pembayaran secara ansuran. Islam tidak melarang jual beli secara ansuran dengan syarat ia mematuhi sighah akad jual beli yang telah ditetapkan iaitu tidak disebutkan dua harga yang berlainan dalam satu masa. Contohnya, seorang peniaga menjual sebuah buku dengan harga RM30.00 secara tunai dan RM50.00 secara ansuran selama tiga bulan. Sebelum akad dilakukan, penjual dan pembeli telah membuat perbincangan mengenai harga dan bersetuju dengan kaedah bayaran secara ansuran. Seterusnya mereka melakukan akad jual beli dengan harga tersebut, maka jual beli tersebut adalah sah. Jual beli secara ansuran tiada kaitan dengan masalah riba walaupun wujud perbezaan harga. Ini disebabkan semasa akad, perkara tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ini bermakna tambahan harga dalam jual beli ansuran adalah kerana pemberian barang yang diserahkan lebih awal sebelum harga dibayar sepenuhnya. Kesimpulannya, jual beli secara ansuran menunjukkan sikap toleransi dalam bermuamalah dan memudahkan urusan sama ada kepada pembeli atau penjual. Namun, tidak diragukan lagi bahawa jual beli secara tunai tetap mempunyai kelebihan daripada jual beli yang dilaksanakan secara bayaran ansuran dan bertangguh daripada segi pengurusan kewangan. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (23).pdf |