Irsyad

Irsyad

Mengumpul mata ganjaran yang bukan hak milik

IsuApakah hukum mengumpul mata ganjaran orang lain dengan menggunakan kad reward sendiri seperti bonus link atau kad mesra dan seumpamanya?
PenjelasanPada hari ini, urus niaga telah banyak menawarkan pelbagai insentif kepada pelanggan sebagai mata ganjaran untuk mendapatkan pulangan dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Kewujudan sesetengah premis yang kini menggunakan kad reward membuatkan ramai pengguna yang suka mendapatkan mata ganjaran ini meskipun ia memerlukan tempoh tertentu untuk menebus ganjaran tersebut.
 
Kad ganjaran yang membawa insentif atau "ganjaran" untuk kegunaan, biasanya melibatkan pulangan tunai, diskaun harga barangan yang kerap. Banyak skim ganjaran yang berbeza telah berkembang untuk menggalakkan kegunaan tertentu, seperti pembelian runcit atau makanan atau perjalanan.
 
Merampas atau mengambil hak orang lain adalah perbuatan yang dikategorikan sebagai al-ghasb iaitu merampas hak orang lain dengan cara yang tidak dibenarkan.
 
Penjelasan berkaitan dengan hal mengambil manfaat daripada barang bukan hak milik kita. Firman Allah Subhanahu wataala:
 
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ اِلَّآ اَنْ تَكُوْنَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِّنْكُمْ ۗ وَلَا تَقْتُلُوْٓا اَنْفُسَكُمْ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا
Maksud:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.
(Surah Al-Nisa’: 29)
 
Al-Maraghi berkata: ‘batil’ bererti sia-sia, manakala menurut istilah syarak ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya. (Tafsir al-Maraghi)
 
Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menyebutkan maksud memakan harta dengan cara batil iaitu dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar’ie seperti riba, judi, ghasb, dan mengurangkan dalam jual beli.
 
Sayyid Tantawi pula menafsirkan hal ini di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa: “Ayat ini bermaksud Allah Subhanahu wataala memerintahkan orang Islam supaya tidak mengambil atau memakan harta saudaranya secara batil begitu juga penggunaannya akan menjerumus kepada kemaksiatan”. (Tafsir Al-Waseet Li Tantawi)
Hadis daripada Amru bin Yathribi, sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
 
وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ
Maksud: “Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri.”
(Hadis Riyawat Musnad Imam Ahmad, 15488)
 
Berdasarkan kepada hadis di atas, dapat dinyatakan bahawa pemilikan mutlak harta (mata ganjaran) tersebut adalah ke atas pemilik kad yang asal. Perkara ini menunjukkan bahawa pemilik kad berhak untuk memberi mata ganjaran tersebut atau tidak kepada sesiapa yang dikehendakinya.
 
Dalam hal ini, Islam amat menitik berat hal berkaitan halal dan haram terutamanya dari segi hak pemilikan kerana bagi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wataala dan tidak menzalimi saudaranya. Nabi Sallallahu alaihi wasallam melarang untuk mengambil barang yang bukan miliknya walaupun sesuatu itu nilainya sedikit. Hadis daripada Abdullah bin Saib bin Yazid mendengar baginda Sallallahu alaihi wasallam bersabda;
لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا وَقَالَ سُلَيْمَانُ ‏"‏ لَعِبًا وَلاَ جِدًّا ‏"‏‏ وَمَنْ أَخَذَ عَصَا أَخِيهِ فَلْيَرُدَّهَا 

Maksud: Janganlah salah seorang daripada kamu mengambil barang saudaranya sama ada untuk bergurau senda atau benar-benar (mahu mengambilnya). Berkata Sulaiman; “sama ada bergurau dan bersungguh-sungguh” Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda “sesiapa yang mengambil tongkat saudaranya maka pulangkan ia”.
(Hadis Riwayat Abi Daud, 5003)
 
Kaedah Fiqhiyyah menyatakan;
لا يجوز لأحد أن يتصرف في ملك الغير بلا إذنه
Maksud: “Tidak harus bagi seseorang itu menggunakan harta orang lain dengan tanpa izin.” (Syarah Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah)
Berdasarkan dalil dan hujah maka dapat disimpulkan bahawa:
  1. Mengambil dan memiliki sesuatu yang bukan hak adalah dilarang dalam Islam sama ada banyak atau sedikit nilainya.
  2. Hendaklah menanamkan sifat jujur dan bertanggungjawab dalam kerja yang dilakukan.
Sebaiknya seseorang yang mahu dan berkeinginan mengumpul mata ganjaran yang bukan miliknya, maka hendaklah memohon keizinan daripada pemiliknya ketika berurusan.
 
Sekiranya seseorang itu pernah atau telah menggunakan dan mengambil mata ganjaran tersebut, maka perbanyakanlah istighfar dan bertaubat atas perbuatan yang telah dilakukan itu termasuklah juga dengan beriltizam tidak mengulanginya.
 
 Firman Allah Subhanahu wataala:
عَفَا اللّٰهُ عَمَّا سَلَفَ ۗوَمَنْ عَادَ فَيَنْتَقِمُ اللّٰهُ مِنْهُ ۗوَاللّٰهُ عَزِيْزٌ ذُو انْتِقَامٍ...
Maksud: “… Allah Subhanahu wataala maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah Subhanahu wataala akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi berkuasa membalas dengan azab seksa.”
(Surah al-Maaidah; 95)
 
Semoga usaha mencari yang halal lagi diredhai Allah Subhanahu wataala akan diberi rahmat oleh-Nya.

 
PautanPENJELASAN HUKUM (46).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Kemas Kini Terakhir Pada 07 Nov 2024

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup