Isu | saya travel ke KL fligt 6.45 malam dari kuching, dan berniat untuk solat jamak takhir di bilik hotel, olehj kerana kepenatan setelah landing sekejap di katil...rupa2nya tersasar hingga masuk waktu subuh, Mohon penjelasna solat jamak yang tertinggal tadi. terima kasih |
Penjelasan | Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wata‘ala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Musafir bermaksud seseorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi 2 marhalah bersamaan dengan 81 km (Seksyen 37, Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001). Islam mengharuskan musafir dengan apa cara sekalipun berserta tujuan yang baik. Seseorang yang bermusafir akan berhadapan dengan kesulitan yang menyebabkan seseorang hilang tumpuan dan ketenangan. Oleh itu, Islam memberikan keringanan dalam banyak perkara termasuklah solat sebagaimana firman Allah Subhanahu wata‘ala: …وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ…
Maksudnya: “…dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…” (Surah al-Hajj: 78)
Solat merupakan suatu kewajipan yang wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang muslim itu meninggalkan solatnya sama ada sengaja atau tidak sengaja seperti terlupa atau tertidur, maka solat yang ditinggalkan tersebut adalah wajib untuk diqadha semula. Hal ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam: إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Jika salah seorang dari kamu meninggalkan solat kerana tertidur atau terlupa, hendaklah dia menggantikannya apabila teringat, kerana Allah Subhanahu wata‘ala telah berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingatiKu”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 684)
Berkenaan dengan situasi seseorang yang meninggalkan solat ketika berada dalam keadaan musafir, solat yang ditinggalkan sewaktu qasar harus untuk diqadha secara qasar jika dia masih dalam keadaan musafir, dan diqadha penuh jika dalam keadaan muqim. Ini adalah qaul yang azhar (jelas) dalam pandangan mazhab Syafi’i seperti yang dinyatakan dalam kitab Raudhah al-Thalibin 1/384.
Kesimpulannya, berdasarkan hujah di atas adalah diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara jamak dan qasar selagi masih berada dalam musafir. Namun sekiranya seseorang meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan muqim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah ia diqadha secara penuh. Oleh itu, adalah dinasihatkan kepada orang yang bermusafir untuk sedaya upaya menunaikan solat pada waktunya. Wallahu a’lam |
Pautan | pngwing.com (49).png PENJELASAN HUKUM (JMS20230731-001).pdf |