| Isu | Apakah antara sifat dan ciri yang terdapat pada Imam al-Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman kelak?
|
| Penjelasan | Hari kiamat merupakan suatu kejadian yang amat dahsyat yang pasti akan terjadi. Sebelum terjadinya kiamat, akan berlaku tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar sebagai permulaannya. Imam al-Mahdi merupakan salah satu di antara tanda besar hari kiamat yang mana beliau adalah daripada keturunan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Kemunculan Imam al-Mahdi tidaklah dapat ditentukan masanya kerana ia termasuk dalam perkara ghaib yang hanya Allah Subhanahu wataala sahaja yang mengetahuinya secara tepat. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Radiallahu anhu dia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ Maksud: "Al-Mahdi daripada keturunanku, lebar dan baik dahinya, mancung hidungnya, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana meluasnya kezaliman dan kekejian, dia memimpin selama tujuh tahun". (Hadis Riwayat Abu Daud, 4285) Begitu juga terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Imam al-Mahdi akan muncul dari (kawasan) timur sebagaimana hadis daripada Thauban Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ كلُّهم ابنُ خليفةٍ ثمَّ لا يصِلُ إلى واحدٍ منهُم ثمَّ تُقبِلُ الرَّاياتُ السودُ من قِبَلِ المشرِقِ فيَقتلونَكُم قتلًا لَم يقتلْهُ قومٌ ثمَّ ذكرَ شيئًا فإذا رأيتُموه فبايِعوه ولَو حَبْوًا على الثَّلجِ فإنَّه خليفةُ اللهِ المَهْديُّ Maksud: "Akan berperang tiga orang di sisi perbendaharaanmu. Mereka semua adalah putera khalifah tetapi tiada seorang pun di antara mereka yang berjaya menguasainya. Kemudian muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur lantas mereka membunuh kamu dengan suatu pembunuhan yang belum pernah dialami oleh kaum sebelummu.” Kemudian baginda menyebutkan sesuatu yang aku tidak hafal lalu bersabda: "Maka jika kamu melihatnya berbai'ahlah walaupun dengan merangkak di atas salji kerana dia adalah khalifah Allah al-Mahdi". (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 4084) Kedua-dua hadis di atas merupakan sebahagian contoh hadis yang menceritakan perihal Imam al-Mahdi yang pasti akan muncul di akhir zaman kelak dan wajib diimani oleh setiap Muslim. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (1).pdf |