Irsyad

Hukum berkumur dengan bahan kumur

IsuApakah hukum berkumur dengan ubat kumur (Listerine dan seumpamanya) semasa berpuasa?
PenjelasanBagi memastikan kesempurnaan ibadah puasa, kita hendaklah menghindari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan mengurangkan kesempurnaan ibadah puasa. Sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam daripada Abu Hurairah Radiallahu anhu iaitu:
 
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ
Maksud: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, 1690)
 
 
Maka, setiap tindakan mahupun amalan seharian perlulah sentiasa dijaga agar puasa yang dilakukan tidak akan terjejas.
 
Adapun berkumur semasa berwuduk, maka ia adalah disunatkan, sama ada bagi orang yang berpuasa atau tidak. Walau bagaimanapun, berkumur dan melakukan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) secara mubalaghah (melampau) adalah makruh bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam daripada Laqit ibnu Sabrah iaitu:
 
أَسْبِغِ الْوُضُوءَ وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا
Maksud: “Dan sempurnakanlah wuduk dan masukkan (bersungguh-sungguhlah) air ke dalam hidung, kecuali dalam keadaan kamu berpuasa”.
(Hadis Riwayat Ibn Majah, 407)
 
Maksud mubalaghah ketika berkumur dan istinsyaq ialah seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu`Syarh al-Muhadzdzab daripada Imam al-Syafii yang bermaksud: “Berlebih-lebihan (mubalaghah) semasa berkumur itu ialah dengan mengambil air dengan kedua-dua bibirnya lalu memusing-musingkan air di dalam mulutnya kemudian meludahnya dan semasa istinsyaq itu dengan mengambil air dengan hidungnya dan menarik air itu dengan nafasnya kemudian dihembus dan tidak ditambah lebih daripada itu.”
 
Dalam isu berkaitan dengan perbuatan berkumur-kumur dengan air biasa, atau dengan menggunakan ubat kumur (Listerine dan seumpamanya) adalah tidak membatalkan puasa selagi tidak menelan air dan bahan kumuran tersebut.
PautanPENJELASAN HUKUM (17).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman