| Isu | Assalam. Dimanakah sempadan kawasan masjid yang boleh iktikaf? Sebahagian masjid di Sarawak, terdapat gerai jualan. Apakah sempadan kawasan yang tidak boleh berjual di dalam masjid? Bolehkah bertepuk-tepuk tangan didalam masjid serta berlagu-lagu serta bunyi alat muzik di dalam masjid sama ada melalui alat atau secara lansung? Jazakallahu khairan. Wassalam. |
| Penjelasan | SOALAN 1 Assalam. Dimanakah sempadan kawasan masjid yang boleh iktikaf? JAWAPAN 1 Alhamdulillah segala puji-pujian selayaknya hanya kepada Allah subhanahu wataa’la. Selawat dan salam kepada jujungan mulia Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, kepada isteri-isteri baginda, ahli keluarga, para sahabat seterusnya yang mengikuti jejak langkah sehingga ke hari kiamat. Iktikaf dari segi bahasa bermakna duduk dan melazimi sesuatu ataupun berkekalan dengannya sama ada baik ataupun buruk. Ulama’ Mazhab Syafi’e mentakrifkan iktikaf ialah duduk di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu dengan niat. Iktikaf disyaratkan duduk dalam kadar yang dinamakan duduk (iqamah) di mana masanya ialah lebih panjang sedikit daripada masa tama’ninah rukuk solat. Tetapi jika kadarnya sama panjang dengan tama’ninah itu sahaja maka ia tidak memadai. Walau bagaimanapun di dalam duduk ini tidaklah diwajibkan diam sehingga tidak bergerak. Tempat Itikaf Mazhab Syafi’e mengatakan bahawa iktikaf adalah sah dilakukan di masjid, sama ada di tengahnya ataupun di tempat lain yang mengikutnya. Beriktikaf adalah lebih utama dilakukan di masjid Jamik berbanding dengan masjid lain. Ini adalah untuk mengelak daripada bercanggah (khilaf) dengan orang yang mewajibkannya. Lagipun jemaah lebih ramai di Masjid Jamik. Dalam kitab Sabilal Muhtadin, pengarang mentakrifkan kawasan masjid yang disebut sebagai Ar-Rahbah seperti berikut: Kawasan luar masjid yang dipagari di sekelilingnya sama ada diwakafkan atau tidak kerana dihukumkan secara zahir. Hukumnya sama seperti hukum masjid juga dan kedua-duanya (masjid dan halamannya) dikira seperti sebuah masjid. Maka ikutan makmum yang berada disitu adalah sah kepada Imam yang berada di dalam masjid atau sebaliknya walaupun jarak di antara kedua-duanya jauh dan dilindungi dengan beberapa binaan atau pintunya ditengah-tengahnya tertutup. Melihat kepada persoalan yang diajukan, dapat dinyatakan bahawa had kawasan yang sah untuk iktikaf adalah kawasan berbumbung dan dalam dinding masjid yang dikategorikan sebagai Ar-Rahbah tersebut. SOALAN 2 Sebahagian masjid di Sarawak, terdapat gerai jualan. Apakah sempadan kawasan yang tidak boleh berjual di dalam masjid? JAWAPAN 2 Secara umumnya, keseluruhan masjid itu adalah dilarang untuk dilakukan jual beli di dalam kawasannya melainkan perkara yang terdesak. Namun begitu, dalam meraikan pendapat-pendapat ulama’ berkaitan dengan masjid pada zaman ini, yang senibinanya berbeza serta mempunyai ruangan-ruangan tertentu yang digunakan untuk tujuan lain, perlu dilihat pendapat ulama’ yang menyebut tentang hal ini. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam menjawab hukum wanita haid menghadiri pengajian di ruangan-ruangan kelas yang bersambung dengan masjid turut membenarkan kerana ruangan itu (yang bersambung dengan masjid tetapi bukan tempat solat) tidak dianggap sebagai masjid tetapi hanyalah mulhaq ataupun bersambung dengan masjid. Kami nyatakan bahawa secara asasnya keseluruhan masjid adalah dilarang untuk dilakukan urusan jual beli. Namun begitu, ruang-ruang yang didirikan asing daripada dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, ruangan-ruangan yang dibina khas untuk tujuan lain adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, kesemua perniagaan ini hendaklah dipastikan mengamalkan adab berjual beli, menghormati waktu solat dan memastikan jemaah tidak leka berjual beli sehingga tersasar dari tujuan asal datang ke masjid untuk beribadat. SOALAN 3 Bolehkah bertepuk-tepuk tangan didalam masjid serta berlagu-lagu serta bunyi alat muzik di dalam masjid sama ada melalui alat atau secara langsung? JAWAPAN 3 Bertepuk-tepuk tangan di dalam masjid adalah perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat bahkan tidak sesuai dengan adab dan tatasusila semasa berada di dalam masjid dan dikhuatiri boleh mendatangkan gangguan bagi orang yang melaksanakan ibadah. Adalah dinasihatkan agar dapat menghindarkan diri dari bertepuk tangan di dalam majlis/keramaian yang diadakan di dalam masjid. Alasannya adalah utk melepaskan diri dari persamaan dari sudut bentuk perbuatan yg dilakukan oleh org musyrikin. Kita boleh menzahirkan kekaguman atau kegembiraan kita dengan bertakbir atau dengan cara yang sesuai dengan keagungan Islam khususnya ketika berada di masjid dan bukan dalam bentuk bertepuk tangan. Kami bawakan juga keputusan Mesyuarat Majlis Islam berkenaan bermain alat muzik dalam masjid. Mesyuarat Majlis Islam Sarawak Bil. 2/2019/XXIV/4 yang telah diadakan pada 03 Oktober 2019M bersamaan 04 Safar 1441H yang lalu, telah memutuskan agar tidak dimainkan sebarang alat muzik di Masjid dan Surau di seluruh Negeri Sarawak (termasuk gendang dan tabuk). Namun demikian, berqasidah memuji baginda Nabi Sallallau alaihi wasallam, marhaban dan zikir adalah diharuskan untuk memupuk semangat cintakan nabi dan menghidupkan ruh di dalam hati. Wallahu a’lam. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20231007-001).pdf |