| Isu | Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan tentang permainan video game. Adakah unsur magic / superpower boleh menjadikan sesuatu video game itu haram, dan adakah perbuatan bermain permainan video game itu boleh jatuh syirik? Website Mufti Wilayah Persekutuan, dalam topik AL-KAFI # 1879: HUKUM MENONTON CERITA BERKAITAN SIHIR, ada menyatakan bahawa hukum asal menonton cerita yang berkaitan sihir adalah harus kerana tontonan filem seperti ini semata-mata atas tujuan hiburan dan seumpamanya tanpa mempercayai tidak boleh digolongkan dalam kategori membenarkan atau mempercayai sihir. Adakah hukum ini boleh jugak terpakai untuk permainan video game? |
| Penjelasan | Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati oleh Allah Subhanahu wata'ala sekalian. Hukum asal bagi sesuatu perkara termasuk bermain video game adalah diharuskan selagi tiada unsur-unsur atau perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengharamannya. Kaedah fiqhiyah menyatakan: الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan sehingga didatangkan dalil pengharamannya. Berkenaan dengan permainan yang mempunyai unsur magik atau super power, ia tidaklah menjadikan video game itu haram dantidak boleh menyebabkan pemainnya itu dihukumkan sebagai mensyirikkan Allah Subhanahu wata'ala. Ini bertepatan dengan kenyataan Mufti Wilayah yang tuan sertakan di atas bahawa animasi yang terkandung di dalam video game tersebut adalah bertujuan hiburan semata-mata tanpa mempercayainya. Walau bagaimanapun, sebagai seorang muslim kita hendaklah sentiasa berhati-hati di dalam melakukan sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kesyirikan kerana perbuatan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah Subhanahu wata'ala. Selain itu, kita hendaklah memilih permainan video game dengan menghindari perkara-perkara berikut:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام Maksudnya: Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut haram hukumnya. Oleh itu, sebagai seorang muslim kita hendaklah sentiasa menghindari diri daripada permainan yang boleh menyebabkan ketagihan bermain tanpa mengira masa walaupun ia harus. Isilah masa dengan perkara yang boleh memberi manfaat dan menambah ilmu pengetahuan serta tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Semoga Allah Subhanahu wata'ala memberikan kita kefahaman dalam memahami agama dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh memesongkan akidah kita sebagai seorang muslim. Semoga penjelasan ini dapat dijadikan panduan dan mengelakkan kekeliruan kepada pihak tuan. والله أعلمُ بالـصـواب |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20240904-001).pdf |