Irsyad

Dam ihsar

IsuSaya ada satu kemusykilan. Bagaimanakah jika seseorang menunaikan umrah kemudian dia balik ke negara asalnya iaitu Malaysia kemudian dia baru ingat bahawa dia tertinggal satu rukun di dalam umrahnya. Jadi beliau masih di dalam keadaan ihram, adakah dibolehkan bagi beliau melakukan dam ihsar untuk melepaskan diri beliau daripada status ihram memandangkan beliau tidak mampu untuk melakukan umrah untuk kali kedua kerana ketiadaan wang. Dan bagaimanakah pula dengan status dam beliau sepanjang beliau berada di dalam keadaan ihram adakah cukup baginya untuk membayar satu ekor kambing untuk semua kesalahan ihram yang dilakukan ataupun hendaklah beliau membayar dam bagi setiap satu kesalahan yang dilakukan.
Penjelasan
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dam Ihsar adalah dam untuk melepaskan diri dari larangan ihram bagi seseorang yang sudah berniat ihram tetapi tidak dapat menyelesaikan rukun hajinya atau rukun umrahnya atau kedua-duanya.
Antara sebab-sebab berlakunya dam Ihsar ialah terhalang atau terkepung dalam perjalanan atau ketakutan dari musuh atau penyakit.
Seseorang yang pulang dalam keadaan tertinggal satu rukun dalam ihram, maka orang tersebut masih dikira dalam keadaan ihram dan haram baginya melanggar pantang larang ihram. Sekiranya dia dalam perjalanan pulang dan teringat bahawa dia belum melaksanakan rukun umrah yang tertentu, wajib baginya untuk bersegera kembali dalam keadaan ihram dan menjaga pantang larang ihram.
Pantang larang ihram yang dilanggar adalah bergantung sama ada ianya taraffuh atau itlaf.
Taraffuh bermaksud bersuka-sukaan, berseronok dalam ihram haji atau umrah seperti memakai pakaian yang dilarang, memakai bau-bauan, hubungan kelamin dan lain-lain lagi, dikenakan dam dan berdosa jika dilakukan dengan sengaja. Jika dilakukan dengan tidak sengaja atau jahil, hukumnya tidak dikenakan dam dan tidak berdosa.
Itlaf pula bermaksud perkara yang merosakkkan atau membinasakan alam sekitar, memutuskan rambut atau bulu, mengerat kuku, membunuh haiwan buruan dan sebagainya tetap dikenakan dam walaupun ia berlaku dengan sengaja, tidak sengaja, jahil atau tahu hukumnya, lupa atau ingat. Jika ia berlaku dengan tidak sengaja, jahil atau lupa hukumnya, orang yang terlibat tidak berdosa. Jika berlaku dengan sengaja, dan tahu haram hukumnya, maka ia dikira berdosa.

KESIMPULAN
Dalam hal dan situasi yang diajukan, sekiranya perlanggaran ihram dari jenis taraffuh, dan dilakukan dalam keadaan tidak sengaja atau jahil maka tidak dikenakan dam ke atasnya. Manakala sekiranya ia dari jenis itlaf, tetap dikenakan dam walaupun ianya dilakukan sama ada sengaja ataupun tidak. Wajib baginya untuk menyembelih seekor kambing di tempat semasa dia berada dan menyedekahkannya kepada fakir miskin di tempat tersebut. Setelah selesai dam tersebut dibayar, orang tersebut niat bertahallul untuk keluar daripada ihramnya.
Wallahu a'lam.
PautanPENJELASAN HUKUM (JMS20230617-001).pdf


© Hak Milik Jabatan Mufti Sarawak
Last Updated On 31 Mar 2026

Waktu Pejabat

Isnin - Khamis
8.00 pagi - 1.00 tengah hari
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi - 11.45 pagi
2.15 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Tutup
image Pengumuman