| Isu | Assamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh Ustaz, Kami ingin mengadakan program solat sunat Dhuhaa secara berjemaah di surau dan ia akan menjadi program mingguan. Mohon pandangan Ustaz mengenai perkara tersebut. Terima kasih |
| Penjelasan | Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wata’ala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam Islam, solat sunat dhuha merupakan suatu ibadah yang dianjurkan untuk dilaksanakan bagi setiap muslim. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu: أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بثَلَاثٍ: صِيَامِ ثَلَاثَةِ أيَّامٍ مِن كُلِّ شَهْرٍ، ورَكْعَتَييْ الضُّحَى، وأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أنْ أنَامَ.
Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam) mewasiatkan kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” (Riwayat al-Bukhari, no.1981)
Solat sunat dhuha boleh dikerjakan sebanyak dua sehingga lapan rakaat bermula setelah terbit matahari kadar segalah (lebih kurang 28 minit selepas waktu syuruk) dan berakhir dengan masuknya waktu Zohor. Selain itu, Solat sunat dhuha adalah termasuk dalam kategori solat sunat yang lebih afdhal (utama) dilaksanakan secara bersendirian. Namun hukumnya sah jika dilaksanakan secara berjemaah sekali sekala. Dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi berkata وَأَمَّا بَاقِي النَّوَافِلِ كَالسُّنَنِ الرَّاتِبَةِ مَعَ الْفَرَائِضِ وَالضُّحَى وَالنَّوَافِلِ الْمُطْلَقَةِ فَلَا تُشْرَعُ فِيهَا الْجَمَاعَةُ أَيْ لَا تُسْتَحَبُّ لَكِنْ لَوْ صَلَّاهَا جَمَاعَةً جَازَ وَلَا يُقَالُ إنَّهُ مَكْرُوهٌ
Maksudnya: "Bagi solat-solat sunat yang lain, seperti solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu, solat Dhuha, dan solat sunat mutlak, pelaksanaannya secara berjemaah tidak dianjurkan. Namun demikian, jika dilaksanakan secara berjemaah, hukumnya adalah harus dan tidak dianggap makruh.” Cadangan puan untuk mengadakan program solat sunat dhuha secara berjemaah pada setiap minggu adalah satu inisiatif yang baik untuk mendidik individu dalam menghidupkan amalan sunnah (Solat Sunat Dhuha). Namun, melaksanakan solat sunat dhuha secara berjemaah ini boleh dilakukan untuk beberapa tempoh dengan tujuan pendidikan dan selepas itu lebih afdhal (utama) dilaksanakan secara bersendirian setelah individu dalam kalangan jemaah sudah pandai melaksanakannya secara bersendirian. Selain itu, masa pelaksanaan program Solat Sunat Dhuha berjemaah tersebut juga hendaklah tidak mengambil tempoh masa yang lama sekiranya dilakukan dalam tempoh waktu bekerja والله اعلم بالصواب |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20251010-001).pdf |