| Isu | Beberapa amalan turun temurun di bulan Safar yang masih dilakukan segelintir masyarakat Islam bagi mengelak mudarat seperti menimbang anak yang lahir pada bulan tersebut kemudian bersedekah mengikut berat timbangannya. Adakah amalan ini dibenarkan? |
| Penjelasan | Anak merupakan kurniaan rezeki daripada Allah Subhanahu wataala yang wajib disyukuri oleh setiap manusia. Kesyukuran yang dizahirkan seharusnya menepati kehendak syariat Islam.
Amalan bersedekah adalah suatu yang digalakkan dalam Islam, namun cara pelaksanaannya hendaklah selari dengan tuntutan agama. Jika pelaksanaannya bercampur dengan amalan khurafat, maka ia ditegah dan dilarang. Ini termasuklah dengan mengaitkan kepercayaan bahawa sesiapa yang lahir dalam bulan Safar boleh membawa nasib yang buruk di dalam kehidupannya kelak. Allah Subhanahu wataala berfirman: مَآ اَصَابَ مِنْ مُّصِيْبَةٍ فِى الْاَرْضِ وَلَا فِيْٓ اَنْفُسِكُمْ اِلَّا فِيْ كِتٰبٍ مِّنْ قَبْلِ اَنْ نَّبْرَاَهَا ۗاِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْ Maksud: “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya, sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid: 22)
Dalam hadis Abu Hurairah Radiallahu anhu bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda:
لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ Maksud: “Tidak benar (meyakini) penyakit berjangkit (tanpa takdir daripada Allah), tidak benar mempercayai gerak geri burung, tidak benar meyakini burung hantu (dari jelmaan roh manusia) dan tidak benar anggapan bulan Safar adalah bulan yang sial.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5707)
Oleh itu, amalan menimbang anak yang lahir di bulan Safar dan bersedekah mengikut berat timbangannya dengan meyakini dapat menghindarkan sebarang mudarat adalah satu kepercayaan dan amalan yang bertentangan dengan syarak. Umat Islam dinasihatkan agar menjauhi dan tidak melakukan amalan tersebut. Semoga Allah Subhanahu wataala akan melindungi kita semua daripada sebarang bencana dan kepercayaan khurafat yang boleh merosakkan akidah Islam. |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (4).pdf |