| Isu | Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan mengenai syarat untuk solat Jamak dan Qasar. Berdasarkan pemahaman saya, solat Jamak dan Qasar bermula sehari selepas kita mula mengembara di mana ia dilaksanakan selama 3 hari. Soalan saya, jika saya mula travelling pada tengahari Isnin, adakah solat Jamak dan Qasar utk Zohor dan Asar boleh dilakukan apabila saya tiba di destinasi pada sebelah petang? Soalan kedua adalah, bolehkan solat Jamak dan Qasar diqada kan? |
| Penjelasan | Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wataala. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Untuk perjalanan musafir melebihi dua marhalah (81 kilometer), solat jamak dan qasar boleh dilaksanakan setelah seseorang itu keluar dari sempadan karyah masjidnya atau setelah melepasi jarak 11 kilometer dari kediamannya tanpa perlu menunggu sehari selepas mula musafir. Jika seseorang itu menetap (bermukim) di sesuatu tempat kurang daripada empat (4) hari tidak termasuk hari tiba dan hari balik, maka dia boleh melaksanakan solat secara jamak dan qasar sepanjang perjalanannya termasuk dalam tempoh bermukim tersebut. Manakala sekiranya seseorang itu bermukim di sesuatu tempat selama empat (4) hari atau lebih (tidak termasuk hari tiba dan hari balik), maka dia tidak boleh melaksanakan solat secara jamak dan qasar setibanya di tempat bermukim dan juga sepanjang tempoh bermukim tersebut. Walau bagaimanapun, dia boleh melaksanakan solat jamak dan qasar ketika tempoh perjalanan pergi dan balik sahaja. Solat fardu wajib dikerjakan pada waktunya yang telah ditetapkan. Ketika dalam perjalanan, dibenar untuk menjamak serta mengqasarkan solat. Solat yang ditinggalkan semasa dalam perjalanan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (tidak disengajakan), boleh diqada secara qasar dalam musafir yang sama atau musafir yang lain. Namun jika sudah bermukim, maka solat tersebut hendaklah diqada dengan sempurna empat rakaat. Adapun solat yang ditinggalkan sewaktu dalam keadaan bermukim hendaklah diqada secara sempurna empat rakat sama ada ketika bermusafir atau bermukim. والله أعلم بالصواب |
| Pautan | PENJELASAN HUKUM (JMS20240804-001).pdf |