Sejarah

Sejarah Jabatan Mufti Sarawak

aaaaaa Merujuk kepada sejarah Kesultanan Brunei (sejak 1350-an atau lebih awal telah memeluk Islam), Santubong adalah ibu negeri pertama Sarawak lewat abad ke-16. Hal ini terjadi pada masa pemerintahan Pengiran Tengah Ibnu Sultan Muhamad Hassan yang merupakan anak ketiga Sultan Brunei. Beliau adalah Sultan yang pertama dan terakhir mentadbir negeri Sarawak. Pertabalan Sultan Pengiran Tengah menjadi Sultan Sarawak Darul Hana’ pada tahun 1599 merupakan titik awal Islam bertapak di Sarawak. Hal ehwal masyarakat dan hukum Islam dirujuk serta diurus oleh para alim ulama yang lazimnya adalah penasihat kepada pemerintah (pemerintahan Brunei di Sarawak 1476-1841). Jawatan dan gelaran semasa pemerintahan Sultan Tengah seperti Datu Patinggi, Datu Bendahara/ Bandar/ Syahbandar, Datu Temenggong/ Pahlawan, Datu Hakim dan Datu Imam diwujudkan semula semasa Sarawak dikuasai oleh keluarga Brooke (1841-1941). Semua urusan umat Islam telah dikendalikan oleh Datu Imam (1852) dan Datu Hakim (1886) iaitu gelaran kepada Mufti yang dilantik pemerintah untuk menyelesaikan permasalahan hukum agama Islam.

aaaaaa Jawatankuasa Fatwa pula telah ditubuhkan pada tahun 1955. Apabila Sarawak bergabung membentuk Malaysia pada tahun 1963, Mufti dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Pada tahun 1997, Pejabat Mufti Negeri Sarawak telah ditubuhkan secara rasmi di bawah Jabatan Ketua Menteri apabila pentadbirannya dipisahkan daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Pejabat Mufti Negeri Sarawak telah berpindah ke Aras 15, Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tahun 2013 dan pada 14 November 2013, Pejabat Mufti Negeri Sarawak telah dinaik taraf sebagai sebuah jabatan dan dinamakan sebagai Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS).

aaaaaa Pada tahun 2018, telah dilakukan pembahagian atau pengasingan kuasa yang jelas di antara peranan mufti dengan bidang kefatwaan dan hukum syarak manakala fungsi pengarah yang berkaitan dengan pentadbiran dan kewangan jabatan. Penurunan kuasa kepada pengarah adalah untuk mentadbir urus jabatan seiring dengan keperluan semasa namun tetap melapor kepada mufti. Sekarang ini, Sahibus Samahah Mufti Sarawak ialah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin manakala Tuan Haji Mual bin Haji Suaud ialah Sahibul Fadhilah Pengarah Jabatan Mufti Sarawak merangkap Timbalan Mufti. Mulai 19 Julai 2022, Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) telah dinamakan semula sebagai Jabatan Mufti Sarawak (JMS).

Useful Links