Berita

Pelancaran Bulan Al-Quran Dan Bahasa Arab
Tarikh : 14 Apr 2021
 

Disediakan oleh: Ustaz Awang Ali bin Awang Mat


                               


Seperti saban tahunnya, Program Bulan al-Quran dan Bahasa Arab (شهر القرءان وشهر اللغة العربية بإدارة المفتي بولاية سراوق) merupakan acara tahunan Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) sebagai medium meningkatkan penguasaan ilmu-ilmu al-Quran dan asas bahasa Arab.

Program anjuran Bahagian Fatwa, JMNS ini diadakan sepanjang bulan Ramadan  bagi menghidupkan bulan yang penuh  keberkatan dan kemuliaan. Pelbagai aktiviti di adakan sepanjang program berlangsung seperti Hiwar dalam bahasa Arab (Dialog Asas di Pejabat), Durus Bahasa Arab, Pengenalan Kaedah Penulisan Al-Quran, Asas Hukum Tajwid, Kuiz Penilaian Al-Quran dan Bahasa Arab (Kuiz Dalam Talian), dan Musabaqah Hafazan.

Pada 29  Syaaban 1442 bersamaan 12 April 2021,  Majlis Pelancaran Program Bulan Al-Quran dan Bahasa Arab telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak dan beliau berharap agar warga kerja JMNS mampu menguasai dan memahami bahasa Arab yang sangat penting dalam memahami agama terutama dalam hal ehwal kefatwaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Ustaz Haji Mohd Syarifuddin Bin Haji Abdul Kadir, beliau memberi galakan agar warga kerja JMNS tidak takut untuk mencuba bertutur dalam bahasa Arab dengan menggunakan perkataan-perkataan yang mudah dan membuang perasaan takut melakukan kesilapan dalam mempelajari bahasa Arab.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Milyun Mabruk yang menyampaikan nasyid bertajuk Al-Quran Kalamullah serta tayangan video khas yang memuatkan kompilasi aktiviti bulan al-Quran dan bahasa Arab yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini.

Program seumpama ini menjadi wadah berkongsi ilmu tentang al-Quran dan bahasa Arab serta boleh meningkatkan kualiti bacaan al-Quran warga JMNS dan penguasaan bahasa Arab.

Useful Links