Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 15 Dis 2018
Versi 8.1.2
JOM SEMAK ARAH KIBLAT DI TEMPAT ANDA
Tarikh : 14 Jul 2018  Sumber Berita: BAHAGIAN FALAK
 

TARIKH : 16 JULAI 2018M / 3 ZULKAEDAH 1439H

MASA : 5:28 PETANG (17:28)

FENOMENA ISTIWA' MATAHARI

Solat merupakan amalan wajib bagi setiap yang bergelar muslim atau muslimah. Dan antara syarat sah solat adalah menghadap ke arah kiblat. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 144:

Seringkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) menghadap mukamu ke langit, maka sesungguhnya kami (Allah) akan memalingkan mukamu ke arah yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana kamu berada palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) memang mengetahui bahawa berpaling ke arah Masjidil Haram itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Baqarah ayat 144)

            Secara amnya, bagi masyarakat Islam yang berada jauh dari Kaabah, seperti umat Islam di rantau asia dan lainnya, maka menghadap ke arah Mekah sudah memadai. Menyebut tentang arah kiblat ini, maka terdapat pelbagai kaedah untuk menentukan arah kiblat dengan betul dan tepat. Antara kaedah yang digunakan seperti, menggunakan buruj-buruj bintang dan matahari, kaedah lintasan matahari harian, menggunakan alatan ukur seperti kompas prismatik, teodolite, GPS dan fenomena istiwa’ utama matahari di Kaabah. Di antara pelbagai teknik tersebut, teknik yang paling mudah dan paling tepat adalah bila berlaku fenomena Istiwa’ Matahari.

            Fenomena yang dikenali sebagai Istiwa’ Matahari ini merupakan satu anugerah Allah SWT yang diberikan kepada manusia di bumi untuk kembali mengingati kebesaran dan kekuasaan-Nya mentadbir pergerakan apa yang ada di langit dan bumi untuk kegunaan manusia umumnya.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal""(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

(Surah Al-Imran: Ayat 190-191)

            Ada yang mengatakan bahawa, “mengapa bersusah-payah berkumpul di tempat panas hanya untuk menentukan arah kiblat, lebih baik guna kompas”.

Jawapan agak mudah. Kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi. Namun, jika ada sumber medan magnet yang berdekatan (seperti besi, tv dll) , penunjuknya akan terpesong dan menunjuk ke arah lain. Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun.

            Kembali kepada fenomena Istiwa’ Matahari, antara banyak teknik penentuan arah kiblat, penggunaan posisi Istiwa’ Matahari di atas Kaabah adalah teknik yang mudah dan tepat. Istiwa’ Matahari bermakna matahari akan berada tepat di langit bersamaan dengan Latitud Kaabah. Fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun, iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah Utara dalam bulan Mei dan ketika matahari kembali ke Ekuinok dalam bulan Julai.

            Andaikata kita berpeluang berada di Masjidil Haram ketika itu, kita akan lihat Kaabah (serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya, seolah-olah tidak ada bayang-bayang. Saat itu, waktu di Mekah ialah 12.28 tengahari. Bagi kita yang berada di Malaysia pada jam 5.28 petang, jika memandang ke arah matahari, bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

            Istiwa’ Matahari di atas Kaabah akan menyebabkan bayang semua objek tegak 90° di seluruh dunia bersamaan dengan arah kiblat. Ini boleh dilihat pada 28 Mei dan 16 Julai ketika menghampiri waktu zohor di Mekah. Mengikut hisabnya pada 16 Julai 2018 matahari Istiwa’ di atas Kaabah tepat jam 12.28  tengahari waktu Mekah yang bersamaan jam 5.28 petang waktu Malaysia.

            Oleh yang demikian umat Islam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bolehlah menyemak arah kiblat dengan menggunakan teknik bayang matahari searah kiblat ditempat masing-masing pada 16 Julai 2018 jam 5.28 petang waktu Malaysia.  Janganlah terlepas peluang ini kerana fenomena ini hanya berlaku dua kali dalam setahun.

            Untuk menyemak arah kiblat menggunakan bayang matahari pada hari tersebut, ikutlah cara-cara berikut;-

1.            Pacakkan kayu atau tongkat di kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.

2.            Pastikan tiang, kayu atau tongkat tersebut lurus. Bagi menyemak ketegakannya bolehlah diletakkan tali yang diikat dengan pemberat di hujung tiang berkenaan.

3.            Pilih tempat yang tidak terlindung dari cahaya Matahari.

4.            Tepat jam 5.28 petang, bayang matahari yang jatuh itu adalah selari dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada dilangit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Oleh itu, arah kiblat ialah arah yang menghadap ke arah barat.

            Selain tiang yang anda pacakkan anda juga boleh menggunakan tiang bendera, tiang lampu atau sisi rumah yang tegak 90° untuk menyemak arah kiblat pada ketika itu.

Wallahualam.

 

Picture