Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
 
 
 
 
 
Kaedah Penulisan Teks Al-Quran dan Hadis
Tarikh : 04 Sep 2020
 

Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) tidak asing lagi dalam menghasilkan bahan-bahan terbitan yang mengandungi penulisan teks al-Quran dan hadis. Memandangkan bahan-bahan terbitan tersebut turut dijadikan sebagai rujukan, penulisan isi kandungan hendaklah tepat khususnya, teks al-Quran dan hadis agar tidak tersalah makna, atau menukar maksud terjemahan ayat serta memetik petikan ayat daripada sumber yang tidak tepat.

Justeru penganjuran Bengkel Kaedah Penulisan Teks al-Quran dan Hadis telah diadakan pada 1 dan 2 September 2020 bertempat di Hotel Grand Margherita, Kuching. Bengkel ini sangat tepat dengan keperluan semasa dalam memastikan teks al-Quran dan hadis yang ditulis oleh warga kerja JMNS mengikut garis panduan yang sepatutnya.

Saban tahun JMNS telah menerbitkan beberapa bahan terbitan seperti majalah, pamflet, risalah, kalendar hijri, dan pelbagai lagi. Namun, adakah kaedah penulisan yang telah dipraktikkan sejak dahulu lagi menepati garis panduan yang dikeluarkan oleh badan autoriti? Oleh itu, selari dengan keperluan mereka, bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai garis panduan pelarasan dan penetapan syarat-syarat tertentu dalam penerbitan. Dengan adanya garis panduan ini, JMNS dapat menghasilkan penerbitan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ).