Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
 
 
 
 
 
CERAPAN GERHANA MATAHARI CINCIN (ANULUS) DI SERIAN DAN SRI AMAN
Tarikh : 30 Dec 2019
 

Cerapan Gerhana Matahari Cincin (Anulus) di Serian dan Sri Aman

Gerhana berlaku apabila cahaya dari satu objek dihalang oleh objek yang lain. Gerhana matahari atau bulan hanya boleh berlaku apabila kedua-duanya selari dengan bumi iaitu ketika fasa ijtimak atau bulan penuh. Bagi Gerhana Matahari Cincin atau Anulus pula, gerhana ini pernah terjadi 21 tahun dahulu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing Johor.

Pada 26 Disember 2019, Khamis, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak telah menganjurkan Cerapan Gerhana Matahari Cincin (Anulus) dan Solat Gerhana yang bertempat di SK Engkilili No. 2, Sri Aman. Cerapan tersebut juga disertai oleh Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin (Mufti Negeri Sarawak), Haji Mual Bin Haji Suaud (Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak), Pejabat Mufti Negeri Sabah dan Sabah Stargazers. Manakala di bahagian Serian pula, kakitangan Jabatan Mufti Negeri Sarawak turut menyertai Cerapan Gerhana Matahari Cincin yang dianjurkan oleh Planetarium Negara yang bertempat di Dataran Piazza, Serian. Cerapan di Serian ini disertai oleh ADUN Bukit Semuja, Encik John Ilus serta pelbagai agensi tempatan dan solat gerhana diadakan di Masjid Bahagian Serian.

Untuk di Bahagian Sri Aman, Gerhana Separa bermula pada pukul 11:53 Pagi. Kemuncak untuk Gerhana Cincin adalah pada pukul 1:52 petang dan gerhana berakhir pada pukul 3:37 petang. Sementara itu, di Bahagian Serian, Gerhana Separa bermula pada pukul 11:49 Pagi. Kemuncak untuk Gerhana Cincin adalah pada pukul 1:48 petang dan gerhana berakhir pada pukul 3:34 petang.

Firman Allah yang bermaksud, 

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata/ berdoa: ya tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, maha suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka,” – 

(Ali Imran ayat 190-191)

Tayangan video sepanjang program boleh ditonton di sini.