Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 17 Jan 2018
Versi 8.0.3
Jumlah Pelawat
737354
MunakahatMunakahat

MUNAKAHAT

1. SOALAN:

Bagaimanakah tindakan yang patut diamabil sekiranya si suami seringkali bercakap bohong, suka mencipta alasan untuk menutup kesalahan dirinya sendiri, walaupun si isteri mengetahui perbuatan si suaminya. Hal tersebut telah berlaku berulang kali dan pernah ditegur, tetapi dimarahi oleh si suami balik. Apa sepatutnya dibuat?

Bolehkah si isteri memulaukan suami bila sikapnya tidak pernah berubah walaupun pernah di tegur.

JAWAPAN:

Puan janganlah berputus asa dalam berdoa dan menasihati suami. Laksanakanlah tanggungjwab sebagai isteri dengan penuh keikhlasan dan terus berdoa bersungguh-sungguh semoga Allah memberi yang terbaik untuk keluarga puan.

 

2. SOALAN:

  1. Apakah hukum jika seseorang lelaki itu menikahi 4 wanita pada suatu masa?
  2. Bagaimana pula dengan pembahagian nafkah batin?
  3. Apakah hukum yang sebenar-benarnya bagi seorang lelaki mengahwini wanita yang dizinai  ketika perempuan itu masih mengandung dengan tujuan menutup malu?

JAWAPAN:

  1. Sah, seorang lelaki menikahi 4 wanita dalam satu masa selagi tidak bertentangan dengan hokum syarak. (contoh: haram mengahwini  adik - beradik dalam satu masa pernikahan).
  2. Pembahagian nafkah batin adalah dengan cara mengikut giliran.
  3. Harus hukumnya mengahwini wanita yang telah dizinai ketika perempuan itu mengandung.

 

3. SOALAN:

Bagaimana kita nak mendapatkan zuriat?

JAWAPAN:

Zuriat adalah anugerah Allah S.W.T. Terdapat beberapa ayat Al-Quran tentang zuriat iaitu :

“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”.

(Ali-Imran : 38)

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

                                        (Al-Furqan : 74)

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”

                                         (Al-Ahqaf : 15)

Walaubagaimanapun janganlah berputus asa, tuan dinasihatkan supaya bersabar dengan berusaha menggunakan kaedah-kaedah perubatan yang dibenarkan oleh Islam disamping berdoa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Mudah-mudahan dikurniakan  dengan zuriat yang soleh dan solehah, amin.

 

4. SOALAN:

Assalamualaikum. suami saya telah berzina dgn kekasihnya disember lalu. Sekarang kekasihnya mengandung. Dia telah mengaku kepada saya dan keluarga kekasihnya perkara yang berlaku. Dia menyesal kerana telah mengkhianati saya sejak 2008 lagi kerana ada hubungan cinta dengan kekasihnya. Keluarga kekasihnya mahu mereka kahwin jumaat ini (25.02.2011). Saya kecil hati, sakit hati, kecewa dan terlalu sedih dengan apa yang terjadi. tapi saya telah solat istikharah untuk buat pilihan sama ada terus menjadi isteri kepada suami saya atau tidak. Saya sudah mendapat petunjuk daripada Allah lalu saya dengan redha telah mengizinkan suami saya kahwin dengan kekasihnya.

Soalan saya, apa yang perlu saya buat untuk menghilangkan kesedihan saya ini (saya sembunyikan perkara ini dari pengetahuan semua orang) kerana saya terlalu sedih. Apa hak saya sebagai isteri pertama kepada suami saya. Di samping saya ada 5 orang anak (16 thn - 6 thn).

JAWAPAN:

Semoga Allah meredhai tindakan dan keputusan yang telah dibuat oleh puan melalui solat istikharah.

Puan hendaklah yakin bahawa petunjuk dan panduan daripada Allah adalah petunjuk yang benar dan terbaik.

Puan dinasihatkan supaya banyak mengamalkan zikir-zikir dan bacaan Al-Quran disamping sentiasa berdoa memohon ketenangan.

Firman Allahyang bermaksud :

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya. Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan. 

(Surah At Talaq :6 - 7)

Sebagai seorang isteri, puan tetap mempunyai hak sebagaimana dijelaskan oleh syarak (hak yang sama seperti isteri yang tidak berpoligami) . Di antaranya:

1. Nafkah (zahir dan batin)

  • tempat tinggal
  • makanan
  • pakaian
  • pergaulan dalam rumah tangga

2. Cuma hak bersama suami adalah mengikut giliran yang dipersetujui.

Begitu juga dengan anak-anak puan, mereka berhak untuk mendapatkan nafkah, pendidikan, penjagaan dan kasih sayang dari pada bapa mereka.

 

5. SOALAN:

Saya ada seorang isteri, kami tidur berasingan bilik.kerana dia mengatakan dia tidak tahan sejuk. tapi sebelum ini perkara ini tidak pernnah berlaku. Sekarang dah 3 tahun keadaan berlarutan. Kami bersama hanya bila saya minta .kalau tidak ianya tidak berlaku. Kadang-kadang permintaan saya tidak dilayan. Kami dah mempunyai 2 orang anak. Kami berusia awal 40an.

JAWAPAN:

Islam mempunyai kaedah tertentu untuk mengatasi masalah yang berlaku di antara suami dan isteri.

Bila berlaku keadaan Nusyuz iaitu isteri tidak taat kepada suami, maka suami bolehlah menangani masalah berikut dengan :

  1. Suami hendaklah bercakap dengan baik dan menasihati isteri agar patuh dan kembali  taat  kepada perintah  suami selagi tidak bertentanagan dengan syarak.
  2. Jika nasihat tersebut tidak berkesan dan isteri masih nusyuz, si suami hendaklah berhijrah dan mengasingkan tempat tidur.
  3. Jika langkah tersebut tidak berkesan juga, suami boleh membimbing isteri melalui pukulan yang mendidik (pukulan tersebut tidak boleh mencedera, meluka, mematah tulang atau gigi, dan memukul bahagian – bahagian yang boleh mendatanagkan mudharat dan merbahaya seperti muka, kepala dan perut).

Sekiranya kaedah-kaedah tersebut tidak mendatangkan hasil, pihak tuan dinasihati berjumpa dengan Bahagian Bimbingan dan Kaunseling di Jabatan Agama Islam Sarawak untuk menyelesaikan masalah tuan secara lebih baik dan berkesan.

 

6. SOALAN:

Suami saya telah menulis satu nota yang berbunyi  Saya (nama penuh suami) melepaskan (nama penuh saya) dengan talak satu cerai. Saya telah membuat " pengesahan lafaz cerai" d mahkamah syariah kerana takut akan talak tersebut jatuh. Pada hari perbicaraan hakim bertanya kepada suami saya adakah dia berniat semasa menulis nota tersebut? Dan suami saya menjawab yang dia tiada niat langsung menulis nota tersebut kerana pada masa itu salah faham telah berlaku antara saya dan dia. Dan sekali lagi hakim bertanya kepada beliau adakah semasa menulis adakah dia membaca dengan suara nota tersebut? Suami saya menjawab  yang dia hanya menulis dan tidak berserta dengan suara membaca. Hakim terus membuat keputusan dan mengatakan yang talak tersebut tidak sah. Dan saya dengan suami saya masih suami isteri yang sah.....Persoalannya di sini saya berasa sangat musykil dan masih ragu-ragu dengan keputusan tersebut...adakah keputusan tersebut sekadar undang-undang dunia atau memang undang-undang agama islam..? 

JAWAPAN:

Seseorang Hakim Syarie apabila memutuskan sesuatu perkara adalah berdasarkan hukum syarak berpandukan keterangan, hujjah dan bahan bukti daripada pihak yang berkaitan.

Walau bagaimanapun, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim boleh membuat rayuan dalam masa tertentu di Mahkamah Syariah.

Untuk makluman puan, berpandukan hukum syarak, kuasa talak adalah pada lelaki/ suami dan ia terbahagi kepada dua iaitu;

  1. Menggunakan lafaz sarih (terang) seperti suami mangatakan ,“aku talak akan dikau dengan talak satu”.
  2. Menggunakan lafaz kinayah (sindiran) seperti suami mangatakan, “ Baliklah ke rumah mak engkau kita tak boleh hidup bersama lagi” dan dalam masa yang sama si suami berniat untuk menceraikan isterinya, maka jatuhlah talak tersebut.

 

7. SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz.. Di sisni saya ingin bertanya dari sudut hukum, soalan saya Ustaz:

Jika seseorang berkahwin dengan ibu tunggal, bagaimana aurat kita dengan anak-anak tiri kita ustaz? Adakah kita bersalam dengan anak tiri perempuan kita membatalkan air sembahyang dan adakah anak tiri kita ini boleh kita kahwini ustaz, tolong jelaskan.

*Soalan tambahan melalui telefon:

1. Taraf anak tiri dalam faraid

2. Hak wali kepada bapa tiri.

3. Tambahan nama anak kepada bapa tiri.

(Contoh : Nama asalnya Siti bt. Abdullah kepada Siti Ali bt. Abdullah)

JAWAPAN:

Hukum berkaitan dengan anak tiri yang telah disetubuhi ibunya dengan perkahwinan yang sah adalah  seperti berikut:

1. Aurat anak tiri adalah sama hukumnya dengan aurat anak kandung sendiri.

2. Jika bersentuhan tidak membatalkan air sembahyang .

3. Tidak boleh dikahwini buat selama-lamanya (haram dengan sebab semendaan).

4. Manakala aurat antara anak tiri (anak kepada isteri)  dengan anak tiri yang lain (anak kepada  suami) adalah seperti lelaki dan perempuan ajnabi ( boleh dikahwini).

*Jawapan untuk soalan tambahan:

1. Anak tiri tiada hak dalam mewariskan harta bapa /ibu tiri.

2. Bapa tiri tiada hak untuk mewalikan anak tirinya.

3. Hukum dibin/bintikan anak kepada selain bapa kandung adalah haram. Walau bagaimanapun penambahan nama bapa angkat/tiri adalah dibolehkan sebagaimana contoh yang tuan berikan.

 

8. SOALAN:

Betulkah tidak sah bernikah dengan perempuan yang sedang mengandung?

JAWAPAN:

Pernikahan dengan wanita mengandung hukumnya sah selagimana rukun perkahwinan itu dilaksanakan.

Rukun perkahwinan ialah:

a) Akad Ijab dan Kabul

b) Pengantin perempuan

c) Pengantin lelaki

d) Wali kepada pengantin perempuan.

e) 2 orang saksi.

Dan syarat harus menjadi Isteri (pengantin perempuan) ialah:

a) Islam

b) tidak dalam ihram

c) bukan isteri orang

d) bukan mahram dengan bakal suami

e) orang tertentu sebagai Isteri kepada suami yang menikahinya.

 

SOALAN:

Saya ingin bertanya mengenai amalan buang peraja (kurang pasti istilahnya) dalam amalan perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak. Adakah ia dikira sebagai amalan khurafat ?

 

JAWAPAN:

Amalan tersebut hendaklah ditinggalkan kerana ada unsur-unsur khurafat (memohon bantuan daripada jin dan syaitan).


< Kembali